walaupun agak letih, saya berpuas hati dengan perjalanan ke Kelantan dua hari lepas. Selesai upacara meminang untuk adik saya di Kelantan, kami bergegas ke Terengganu. Seorang rakan sekampong yang membantu dan mengikut saya dalam urusan meminang yang saya sebut semalam, ingin benar ke Terengganu bagi mencari sepupunya yang tidak pernah di jumpai beliau. Saya dengan senang hati membawa beliau ke sana dan mengatur salah seorang kawan di Kuala Terengganu bagi mencari sepupu kawan saya yang tinggal di kawasan Manir. Selepas mandi kami bertolak dari hotel ke Manir dengan kawan saya menjadi jurutunjuk.
Sesungguhnya dengan kebesaran dan izin Allah swt. kami berhenti bertanya di sebuah kedai runcit dan tanpa di sangka serta secara kebetulan orang yang kami cari berada di kedai tersebut. Akhirnya kawan saya dapat bertemu dengan sepupunya yang telah pun menjangkau hampir 70an itu. Kami biarkan mereka berpelukan, sebak dan saya turut gembira dengan pertemuan ini. Dalam masa dua jam kami di bawa ke tiga buah rumah sepupu kawan saya ini dan dia dapat bertemu tak kurang dari 20 orang kaum keluarganya.... Satu keajaiban!
Bapa kawan saya berserta dengan adiknya berasal dari Terengganu dan berhijrah ke Kedah sejak kecil lagi dan akhirnya berkahwin di Kedah. Ketika itu ramai orang dari pantai timur datang ke Kedah untuk bekerja khususnya di musim mengambil padi. Dipendekkan cerita bapanya tidak pernah pulang ke Terengganu. Saya difahamkan hanya sekali bapa saudaranya dari Terengganu datang melawat Kedah. Ketika ini bapa kawan saya dan semua bapa dan emak saudaranya di Terengganu telah meninggal dunia. Yang tinggal hanyalah sepupu, itu pun masing-masing telah di mamah usia.
Saya gembira, walaupun singkat, kami dapat turut menyumbangkan khidmat dalam menjejak kasih antara dua keluarga ini.. Moga hubungan mereka akan terus ditingkatkan di masa depan... Amin....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment