Saturday, December 29, 2007

kenduri kawin, adat lama dan politik kampong

Sejak hari raya Aidul Adha saya di kampong hingga awal tahun baru ini. Saya sibuk dengan kenduri kawin saudara dan adik saya di kampong dalam masa seminggu yang lepas. Seluruh keluarga kami berada di kampong. Untuk pertama kali ayah terpaksa mengendalikan kenduri ini secara bersendiri tanpa emak yang telah kembali ke Rahmatullah tahun lepas. Bagi melicinkan perjalanan kenduri saya menjemput semua ahli keluarga berbincang dan membahagi tugas bagi menentukan kenduri ini berjalan dengan licin.

Pada 27 Disember, 2007 majlis berjalan dengan sempurna. Saya perhatikan pada hari mendirikan khemah hampir semua orang kampong tua muda datang membantu dan menyiapkannya dalam masa yang singkat. Sehari sebelum kenduri, segala kerja persediaan memasak, menyediakan bahan menumis, memerap ayam untuk di goreng, kelapa, merebus rebung, menyiapkan bilik pengantin dll siap dikendalikan oleh orang-orang kampong lelaki dan perempuan.

Hari kenduri, pagi lagi saya terpaksa ke pasar besar membeli segala keperluan lauk pauk untuk pengantin. Lain-lain barangan saperti ayam dan daging telah di tempah lebih awal. Segala kerja berjalan lancar. Pukul sembilan pagi, semua daging, ayam siap dicuci dan kerja memasak bermula. Semua ini berlaku kerana seluruh yang hadir lelaki, perempuan, tua dan muda malah kanak-kanak turut membantu membuat kerja. Pukul dua belas tengahari semua hidangan siap. Sungguh menakjubkan! Lebih membanggakan majlis jamuan makan semuanya di hidang. Kampong kami masih lagi dapat bertahan, masih ramai anak-anak muda yang sanggup menjadi penanggah. Banyak kampong di sekitar yang terpaksa membuat jamuan cara layan diri.Alhamdulillah! Tradisi dan adat lama masih berkekalan di kampong kami...

Saperti biasa saya terpaksa melayan pelbagai soalan dari orang-orang tua kampong yang ingin tahu pelbagai hal saperti isu kelemahan kerajaan, demonstrasi di KL, Hindraf, UMNO & BN, harga minyak, harga barang, ekonomi, pengangguran siswazah, Singapura, Pilihanraya, Tun Mahathir dll. Saya jelaskan satu persatu dan memberi tahu keadaan sebenar apa yang berlaku di Malaysia masa kini. Setiap masa terluang saya diajukan dengan pelbagai soalan. Masa berlalu begitu pantas. Terdapat semacam kepuasan, bila kita menjelaskan kepada mereka pelbagai perkara yang di hadapi negara masakini.

Saya cuba mengusik bagaimana dengan pilihan dalam pilihanraya ini? Jelas di sebalik kemarahan terhadap Perdana Menteri, BN, dasar cacamerba sekarang ini, dll , mereka rata-rata masih tak banyak pilihan, tetap setia dengan pemerintah masakini.

Seharian, saya perhatikan kampung kami masih lagi saperti dahulu. Kenduri- kendara, tradisi tolong menolong, pakatan orang kampong masih utuh tidak di telan zaman.. Saya bangga. Sedih!, mereka masih lagi dengan kemelut lama, padi yang tak menjadi, banjir, bantuan baja, dll. Mereka, walaupun telah mempunyai talipon, kereta,dan pelbagai tanda kemajuan masih lagi 'humble' 'simple' dan nampaknya masih mudah di manipulasi oleh orang tengah politik..... Agaknya satu generasi lagi baru ada perubahan minda yang merdeka..

No comments: