Monday, December 31, 2007

selamat menyambut tahun baru

Beberapa jam lagi tahun 2007 akan lenyap dan 2008 akan mencatit sejarahnya pula. Selamat menyambut tahun baru! Moga tahun 2008 akan membawa seribu kebaikan berbanding dengan kemalapan pencapaian 2007. Saya hanya berdoa moga kepedihan rakyat dari segi harga minyak, harga barang, jenayah, pendatang haram, hindraf, tol, rasuah, polisi kelam kabut PM, pernyataan bodoh MP dalam parlimen tidak akan terus meningkat dan jika boleh perlu menurun... Amin!

bila beruk tidak bertuan!

November lepas saya menyamakan pertikaian pemimpin BN dan UMNO dalam media sebagai beruk tidak bertuan. Mana tidaknya, kalau dah ketua senyap dan sepi tanpa komen dan susulan penyelesaian. Ketika itu Shahidan dan Radzi bertelagah soal pendatang haram dan imigran di Malaysia. Kayveas dan Samy Vellu dari BN juga bertokak di dalam media.

Semalam, sekali lagi Setiausaha Agong Parti menggunakan media menghentam ketua parti dan kerajaan negeri yang di pilih oleh rakyat. Dalam kes UMNO, Radzi hanyalah pegawai parti yang di lantik oleh Presiden. Manakala Shahidan adalah ketua bahagian, MB dan ahli MKT UMNO dan ia di lantik oleh ahli dan pengundi.

Nampaknya orang Semangat 46 sedang bermaharajalela dengan bersembunyi di bawah Presiden yang melantik mereka. Saya tidak terkkejut jika Shahidan melawan dan tidak berdiam diri. orang-orang UMNO yang bekerja keras menyelamatkan UMNO yang diharamkan akibat tindakan orang semangat 46 kini kian terpinggir. Pemimpin UMNO bercakaran sesama sendiri. Itu dalam UMNO di satu negeri. Di negeri lain pun ada!

Dalam BN pun kian teruk. Pegawai tertinggi parti Gerakan secara terangan menyokong tindakan HINDRAF. Bukan setakat Exco kerajaan malah ketua Pemudanya juga membuat kenyatan yang tidak sehaluan dengan pandangan dan pendirian kerajaan. Dalam Parlimen pun ada anggota BN yang menyokong HINDRAF.. Apa sudah jadi?

Di mana Presiden UMNO dan Pengerusi BN? Nampaknya tidak ada lagi segan silu, jauh sekali hormat pada pemimpin mereka. Dalam suasana begini agak malang kepada yang ingin melihat perubahan berlaku dalam kepimpinan negara. orang UMNO memang tak boleh di harap kerana letak tunggul kayu pun mereka akan sembah dan taat. Pembangkang pun sama, masih lagi bersikap chauvanis, gagal bersepakat dan masih beroperasi dalam model yang hampir sama dengan BN.

Jauh.. bila agaknya keseluruhan pemimpin politik BN dan pembangkang yang ada sekarang di ganti dengan pemuda Malaysia yang jiwanya merdeka.. Bila agaknya Malaysia akan mempunyai pemimpin yang dinamik dan kalau tak lebih pun, sekurangnya, setanding dengan Tun Dr. Mahathir...mantan PM malaysia yang lalu.

Saturday, December 29, 2007

kenduri kawin, adat lama dan politik kampong

Sejak hari raya Aidul Adha saya di kampong hingga awal tahun baru ini. Saya sibuk dengan kenduri kawin saudara dan adik saya di kampong dalam masa seminggu yang lepas. Seluruh keluarga kami berada di kampong. Untuk pertama kali ayah terpaksa mengendalikan kenduri ini secara bersendiri tanpa emak yang telah kembali ke Rahmatullah tahun lepas. Bagi melicinkan perjalanan kenduri saya menjemput semua ahli keluarga berbincang dan membahagi tugas bagi menentukan kenduri ini berjalan dengan licin.

Pada 27 Disember, 2007 majlis berjalan dengan sempurna. Saya perhatikan pada hari mendirikan khemah hampir semua orang kampong tua muda datang membantu dan menyiapkannya dalam masa yang singkat. Sehari sebelum kenduri, segala kerja persediaan memasak, menyediakan bahan menumis, memerap ayam untuk di goreng, kelapa, merebus rebung, menyiapkan bilik pengantin dll siap dikendalikan oleh orang-orang kampong lelaki dan perempuan.

Hari kenduri, pagi lagi saya terpaksa ke pasar besar membeli segala keperluan lauk pauk untuk pengantin. Lain-lain barangan saperti ayam dan daging telah di tempah lebih awal. Segala kerja berjalan lancar. Pukul sembilan pagi, semua daging, ayam siap dicuci dan kerja memasak bermula. Semua ini berlaku kerana seluruh yang hadir lelaki, perempuan, tua dan muda malah kanak-kanak turut membantu membuat kerja. Pukul dua belas tengahari semua hidangan siap. Sungguh menakjubkan! Lebih membanggakan majlis jamuan makan semuanya di hidang. Kampong kami masih lagi dapat bertahan, masih ramai anak-anak muda yang sanggup menjadi penanggah. Banyak kampong di sekitar yang terpaksa membuat jamuan cara layan diri.Alhamdulillah! Tradisi dan adat lama masih berkekalan di kampong kami...

Saperti biasa saya terpaksa melayan pelbagai soalan dari orang-orang tua kampong yang ingin tahu pelbagai hal saperti isu kelemahan kerajaan, demonstrasi di KL, Hindraf, UMNO & BN, harga minyak, harga barang, ekonomi, pengangguran siswazah, Singapura, Pilihanraya, Tun Mahathir dll. Saya jelaskan satu persatu dan memberi tahu keadaan sebenar apa yang berlaku di Malaysia masa kini. Setiap masa terluang saya diajukan dengan pelbagai soalan. Masa berlalu begitu pantas. Terdapat semacam kepuasan, bila kita menjelaskan kepada mereka pelbagai perkara yang di hadapi negara masakini.

Saya cuba mengusik bagaimana dengan pilihan dalam pilihanraya ini? Jelas di sebalik kemarahan terhadap Perdana Menteri, BN, dasar cacamerba sekarang ini, dll , mereka rata-rata masih tak banyak pilihan, tetap setia dengan pemerintah masakini.

Seharian, saya perhatikan kampung kami masih lagi saperti dahulu. Kenduri- kendara, tradisi tolong menolong, pakatan orang kampong masih utuh tidak di telan zaman.. Saya bangga. Sedih!, mereka masih lagi dengan kemelut lama, padi yang tak menjadi, banjir, bantuan baja, dll. Mereka, walaupun telah mempunyai talipon, kereta,dan pelbagai tanda kemajuan masih lagi 'humble' 'simple' dan nampaknya masih mudah di manipulasi oleh orang tengah politik..... Agaknya satu generasi lagi baru ada perubahan minda yang merdeka..

Thursday, December 13, 2007

bila nasi sudah jadi bubur!!

Setiap orang tahu bahawa di Malaysia, soal-soal sensitif mengenai perkara yang telah dipersetujui dalam perlembagaan jika dibangkitkan amat mudah menyinggung perasaan kaum lain. Begitu juga dengan soal menuduh kaum itu dan kaum ini akan menjadi isu amat sensitif.
Bila keadaan tidak terkawal, baru kelam kabut dan akhirnya terpaksa sain waran tangkap ISA!

Mengapa begitu berani pihak HINDRAF bertindak sebegitu rupa.? Pada saya kerajaan khususnya Perdana Menteri harus bertanggungjawab kerana membiarkan perkara sebegini menjadi barah dan merebak kononnya ketelusan, terbuka, dll. Kita kalau lemah dan lembab jangan cuba menjadi hero dengan cara demikian kerana lambat laun orang akan pijak kepala. Ini dah berdarah dan dah bernanah baru kalut nak mengambil tindakan!

Sudah terlewat, tapi terpaksalah menggunakan ISA. Akibatnya negara ini akan di kutuk kerana menggunakan akta yang basi di mata dunia. Semua ini berlaku kerana kelemahan pemerintahan yang ada masa kini.. Sebelum nasi menjadi bubur... Malaysia memerlukan perubahan kepimpinan dan kerajaan!

Tuesday, December 11, 2007

polis lagi!

Pagi ini saya ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat pada pukul 10.00 pagi. Saya bertolak dari rumah pada jam 7.45 pagi dari Cyberjaya melalui Jalan Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur. Sampai saja di kawasan setesyen Serdang kereta dah mula tersangkut dalam kesesakkan jalan hingga lah hampir kesimpang Jalan Kucai Lama. Hampir dua jam tersepit dalam kesesakkan yang hanya berpunca dari sekatan jalan raya oleh pihak PDRM.

Kalau lah pihak Polis menggunakan otak sedikit, saya rasa keadaan tidak lah begitu teruk. Bayangkan jalan empat lorong hanya tinggal satu lorong!. Waktu orang nak ke pejabat pulak tu!Dah tu kalau betul-betul di periksa kenderaan yang masuk ke Kuala Lumpur tak apa lah juga. Ini hanya tercegat jadi pak pacak tanpa membuat apa-apa..... Menyusahkan rakyat!

Thursday, December 6, 2007

Hong Kong, Afghanistan dan universiti taraf dunia

Dah lama saya tidak menghadiri konferen. Tiga hari lepas saya di klcc menghadiri konferen antarabangsa yang dianjurkan oleh Bank Dunia dengan Kementerian Pengajian Tinggi. Perwakilan terdiri dari pelbagai negara Asian. Pelbagai kertas kerja dibincangkan mengambil kes dari pelbagi negara.

Pembentang dari Universiti Hong Kong membentangkan kertas bagaimana untuk menjadi universiti bertaraf dunia. Beliau hanya mengambil satu aspek sumber dana sebagai bahan perbincangan. Beliau menunjukkan bagaimana Hong Kong Universiti dalam masa yang singkat dapat mengumpul dana berbillion ringgit hasil dari ssumbangan derma orang ramai dan badan korporat. Semua wang ini dilaburkan balik dengan tujuan melantik kerusi professor dalam bidang tertentu dan kegiatan R&D. Mereka tidak lagi bergantung dengan kerajaan walaupun mereka adalah universiiti kerajaan. Sungguh hebat dan dari sudut ini mereka hampir setanding dengan Harvard U. Bagaimana kalau universiti kerajaan di Malaysia di minta mencari sumber kewangan sendiri?..

Di akhir sessi pembentangan wakil dari Afghanistan menjemput seluruh negara di Asia bagi membantu mereka, menjemput semua pihak ke negara mereka membantu dalam bidang pengajian tinggi, mereka merayu, " datanglah membantu kami, jangan datang untuk berniaga dengan kami"

Setiap kali makan tengah hari saya cuba berubah dari satu kumpulan ke satu kumpulan lain pada setiap hari dengan tujuan berkenalan sebanyak mungkin para peserta dari Laos, Nepal, Bhutan, Pakistan, India, Manggolia dll. Saya perhatikan setiap hari, setiap kali masa makan, sekelompok melayu yang yang mewakili universiti awam yang terdiri dari vice canselor, timbalan naib canselor, pengarah dll bekelompok sesama mereka!

Terkenang pelbagai visi, misi dan slogan universiti ini yang ingin menjadi universiti bertaraf dunia..... Bagaimana nak capai? .. Baru konferen peringkat Asia, makan pun asyik duduk sesama sendiri, jauh sekali nak bercakap dan memberi pendapat.. Nampaknya masih lagi jadi jaguh kampong. Jauh lagi perjalanan mereka untuk mencapai taraf dunia!...

Monday, November 19, 2007

begitu cepat masa berlalu

Semalam saya mendapat sms dari kawan lama memohon ampun dan maaf dan memaklumkan akan berangkat ke tanah suci sedikit masa lagi. Tadi saya membaca blog Nuraina dan sebelum itu blog Zaharah dari London mengenai Awang Goneng yang di tulis oleh Wan Hulaimi (suami Zaharah) bekas jurnalis dari NST.

Terkenang kawan-kawan lama ini sekitar tahun 80an dan 90an. Sirajudin Rafia (sekarang Dato') masa itu adalah wakil Utusan di London. Kami seringkali melepak di Malaysia Hall. Beliau akan berangkat ke Mekah minggu hadapan. Saya doakan moga beliau mendapat Haji Yang Mabrur. Wan Hulaimi menghasilkan karya 'Growing Up in Terengganu' (GUiT) dengan nama penanya Awang Goneng..

Ketika saat-saat begini kita hanya boleh berdoa dan mengingati masa silam yang berlalu begitu cepat. Saya teringat ketika itu saya begitu suka membaca tulisan Wan Hulaimi dan berpeluang pula berjumpa dengan beliau. Pernah juga saya dan Dato Siraj ke rumah beliau di London. Satu peristiwa yang saya tidak pernah lupa hingga ke hari ini ialah soal menamakan anak laki-laki kami yang baru dilahirkan ketika itu. Satu hari, dalam perjalanan balik dari Malaysia Hall selepas bertemu Wan Hulaimi, saya mendapat panggilan mengenai kelahiran anak laki-laki saya yang ketiga. Entah kenapa secara sepontan saya memberitahu isteri saya bahawa anak kami itu saya namakan Hulaimi. Dato Siraj hingga kini, setiap kali berjumpa, sering bertanya mengenai Hulaimi, anak saya, yang kini telah pun menamatkan pengajian tingkatan empatnya semalam..

Hari ini, mereka dengan halatuju masing-masing. Wan Hulaimi dan Zaharah menetap di London. Dato Sirajuddin Rafia telah bersara dan kini giat menjalankan perniagaan sendiri. Kepada mereka Selamat Maju Jaya, moga mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.. Amin.

Thursday, November 15, 2007

Pemimpin, Rakyat dan media

sepanjang minggu saya terus terganggu dan di ganggu dengan pelbagai berita mengenai soal saperti politik, demokrasi, rakyat, kuasa dan berbagai lagi. Sudah tentu ianya keluar dari orang-orang dan institusi yang berpengaruh saperti pak menteri, ketua polis, ahli majlis tertinggi parti, pegawai tinggi kerajaan, ahli parlimen, pihak media cetak dan letronik serta lain-lain lagi.

Keseluruhannya amat mengecewakan. Apa tidaknya, anak dan bapa akan di dakwa kerana turut serta dalam perhimpunan, rakyat mahu memakai baju kuning tak boleh dan perjalanan mereka di halang. Bakal pemimpin, memanggil rakyatnya sebagi beruk. Satu Kuala Lumpur sesak dan mencatit sejarah kepada negara. Berita yang keluar dari media cetak dan letronik kerajaan tidak menyentuh langsung dan kalau ada pun hanya berita kecil. Blog yang menyampaikan berita benar di sekat dan di ganggu dengan pelbagai cara. Pun begitu di seluruh dunia berita benar secara bergambar tersebar juga secara yang meluas..

Kerajaan dan pemerintah masih ingin hidup dalam alam penafian! Gambar-gambar dan berita dalam blog rakyat di lawati oleh ratusan ribu pelayar internet dari dalam dan luar negara. Lebih teruk pak menteri masih lagi mahu menegak benang basah dan marah-marah dengan bahasa inggeris yang lintang pukang dan di tonton di seluruh dunia. Keseluruhan saluran media milik kerajaan cuba memperkecilkan berita dan peristiwa yang benar-benar berlaku. Penonton, pembaca dan rakyat masih lagi mahu diperbodohkan sebegitu rupa..

Pihak media dan anggotanya sudah kehilangan kebebasan yang mereka perjuangkan. Sudah hilang ciri-ciri professionalisma profesyen mereka. Menurunkan darjat mereka di mata rakyat.
Sesungguhnya kamu sudah tidak ada lagi kredibiliti di mata rakyat.. Bahan berita, ungkapan dan ulasan kamu hanya layak di bakul sampah. Kamu memalukan diri kamu sendiri...

Sudah sampai masanya untuk pemimpin melihat diri sendiri, muhasabah diri, polisi dan tindakan. Kalau terlambat sudah tidak berguna lagi. Sesungguhnya di antara rakyat dan pemerintah pada abad ini, pada hari ini, jaraknya, semakin hari, semakin jauh... dan bertambah jauh...

Monday, November 12, 2007

Polis lagi!

Sabtu lepas saya bertolak untuk menghantar anak ke rumah terbuka kawanya di Taman Keramat. Malang, masuk sahaja ke Lebuhraya Seremban / Kuala Lumpur lebih kurang pukul 11.45 pagi dari simpang UPM, jalan sesak dan hampir tidak bergerak langsung. Hampir dua jam masa yang di ambil untuk bergerak dari UPM ke tol Sungai Besi. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Cyberjaya.

Kita faham dengan tindakan Polis , tetapi tindakan ini amat tidak bijak. Bukan semua orang yang mereka periksa akan ke Dataran Merdeka. Ada yang bercadang untuk membeli belah, ke rumah terbuka, kenduri dll, terperangkap oleh tindakan yang agak bodoh. Tidak pula mereka memeriksa secara terperinci setiap kereta untuk mengenalpasti orang yang akan berdemonstrasi atau orang orang yang berpakaian kuning dsbnya..

Kesimpulan yang boleh di buat, mereka sengaja mengujudkan keadaan kelamkabut dan menyusahkkan semua orang kononnya dengan cara demikian kemungkinan boleh melambatkan perjalanan orang ramai atau menyekat orang ramai ke Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, akhirnya objektif perhimpunan pada Sabtu lepas tercapai juga. Barangkali pihak Kerajaan dan pihak Polis perlu memikirkan semula cara yang lebih bijak dan berhemah bagi mengendalikan kes sebegini!

Thursday, November 1, 2007

Apa sudah jadi ?

Pegawai tinggi PDRM membuat kenyataan akhbar mengenai BPR dan PDRM yang gagal memberi perlindungan kepada anggotanya?

"Cakap di mahkamah bukan dengan media", kata YB Nazri Aziz. Masih ingatkah lagi satu ketika dulu bagaimana seorang pengarah BPR kena belasah dengan Nazri dalam media? Pada ketika itu BPR sedang menjalankan siasatan mengenai pengeluaran permit teksi!, Melayu mudah lupa!

Menteri Dalam Negeri dengan Menteri Besar Perlis tuduh menuduh dalam media!Isu sebenarnya mengenai kebanjiran pendatang asing terutama yang halal dari Bangladesh dan pendatang haram dari Indonesia yang tak terkawal lagi sekarang ini, tak pulak nak dibincangkan!

Samy Vellu dengan M. Kayveas tuduh menuduh lagi .

Cabar mencabar sesama anggota dalam satu Jabatan, dalam satu Kementerian, dalam satu parti, UMNO, BN! Mana tuan atau ketuanya? Macam beruk tidak bertuan! Boleh jadi sedang tidur atau tak siapa nak mempedulikan tuannya lagi! Astaga apa sudah jadi?

Tuesday, October 30, 2007

Konsep pengasingan kuasa

Jelas dalam perlembagaan Malaysia mengenai konsep pengasingan kuasa dan peranan ketiga institusi, eksekutif, kehakiman dan perundangan. 50 tahun kita telah mencapai kemerdekaan. Kematangan ketiga institusi masih terus menerus di uji. Terbaru DYMM Sultan Perak semalam telah secara langsung mengingatkan institusi kehakiman mengenai peranan keseluruhan pihak yang terlibat mengenai peranan mereka.

Pihak eksekutif yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri secara terbuka mesti mengambil ingatan tentang apa yang tersirat dan tersurat berhubung dengan titah ucapan Tuanku Sultan Perak semalam. Negara sedang mengalami krisis kepercayaan rakyat terhadap institusi yang sepatutnya menjaga dan memelihara hak rakyat secara amnya. Institusi Eksekutif dan Kehakiman telah gagal dalam peranan masing-masing untuk menjadi badan yang sepatutnya melakukan 'Check and balance ' dalam sistem demokrasi di Malaysia.

Manakala institusi Parlimen dan keseluruhan anggota Perundangan juga masih di tahap lama. Kematangan ahli-ahli Yang Berhormat yang berhujjah setiap kali persidangan langsung tidak membayangkan mereka mempunyai jiwa rakyat yang telah merdeka. Tidak ada apa yang dapat dibanggakan dari Jawatankuasa saperti PAC.

Ketiga-tiga institusi ini dari segi prestasi dan peranan dalam mendukung Malaysia ke tahap negara maju.... mengecewakan. Pilihanraya akan datang masa yang sesuai bagi membuat perubahan samada dari segi institusi, orang yang terlibat dan dasar yang perlu di ubah...

Monday, October 29, 2007

Puduraya: dahulu dan sekarang

Sejak 1970an saya melalui kawasan puduraya yang dulunya setesyen bas Foh Hup dan Tong Foong. Majoriti pengguna yang menggunakannya adalah mereka yang tinggal di Cheras, Kajang, Ulu Langat dan Seremban. Kalau hujan terpaksalah melalui lumpur dan becak di kawasan tersebut. Pun begitu keadaan agak selesa masa itu. Lebih 20 tahun sudah Puduraya beroperasi.

Akhir-akhir ini, lebihkurang dua bulan lepas , saya mula berulang alik menggunakan kemudahan di Puduraya. Terpaksa harga minyak naik!Saya menaiki bas ekspres ke utara. Kesesakan di Puduraya amat teruk sekali samada dari jumlah pengguna atau pun jumlah bas yang beroperasi. Suasana di bahagian kaunter belian tiket sesak. Pengguna dan penumpang setiap hari amat ramai. Keadaan yang panas dan berhabuk menjadikan masa menunggu bas satu penyeksaan kepada orang ramai. Bas dua tingkat terpaksa tunggu di luar.

Terfikir.. Elok juga PM, Menteri Pengangkutan atau Dato Bandar melawat dan melihat sendiri bagaimana cantik dan teraturnya Puduraya masakini. Lagi cantik di waktu pagi anda boleh lihat bagaimana rakyat tidur di atas kerusi, meja makan dan di tepi tangga menunggu siang dan berharap mendapat menaiki teksi dan bas ke destinasi berikutnya dengan kadar tambang yang murah. Daif, sesak, layu dan tak terurus begitulah Puduraya di waktu pagi. .. Selamat menempuh wawasan sebagai negara maju..

Friday, October 26, 2007

Hari Raya

Selamat hari raya! Akhirnya saya mendapat sedikit masa dan kesempatan untuk memulakan blog ini. Kepada semua rakan-rakan dan pembaca salam dan selamat hari raya, maaf zahir batin.

Setiap hari RTM dan lain-lain saluran TV Media Prima menyiarkan rancangan hiburan, drama, sketsa hari raya yang saban tahun bentuk dan isi yang sama. Sampai bila kita akan menyiarkan siaran saperti ini?