Monday, November 19, 2007

begitu cepat masa berlalu

Semalam saya mendapat sms dari kawan lama memohon ampun dan maaf dan memaklumkan akan berangkat ke tanah suci sedikit masa lagi. Tadi saya membaca blog Nuraina dan sebelum itu blog Zaharah dari London mengenai Awang Goneng yang di tulis oleh Wan Hulaimi (suami Zaharah) bekas jurnalis dari NST.

Terkenang kawan-kawan lama ini sekitar tahun 80an dan 90an. Sirajudin Rafia (sekarang Dato') masa itu adalah wakil Utusan di London. Kami seringkali melepak di Malaysia Hall. Beliau akan berangkat ke Mekah minggu hadapan. Saya doakan moga beliau mendapat Haji Yang Mabrur. Wan Hulaimi menghasilkan karya 'Growing Up in Terengganu' (GUiT) dengan nama penanya Awang Goneng..

Ketika saat-saat begini kita hanya boleh berdoa dan mengingati masa silam yang berlalu begitu cepat. Saya teringat ketika itu saya begitu suka membaca tulisan Wan Hulaimi dan berpeluang pula berjumpa dengan beliau. Pernah juga saya dan Dato Siraj ke rumah beliau di London. Satu peristiwa yang saya tidak pernah lupa hingga ke hari ini ialah soal menamakan anak laki-laki kami yang baru dilahirkan ketika itu. Satu hari, dalam perjalanan balik dari Malaysia Hall selepas bertemu Wan Hulaimi, saya mendapat panggilan mengenai kelahiran anak laki-laki saya yang ketiga. Entah kenapa secara sepontan saya memberitahu isteri saya bahawa anak kami itu saya namakan Hulaimi. Dato Siraj hingga kini, setiap kali berjumpa, sering bertanya mengenai Hulaimi, anak saya, yang kini telah pun menamatkan pengajian tingkatan empatnya semalam..

Hari ini, mereka dengan halatuju masing-masing. Wan Hulaimi dan Zaharah menetap di London. Dato Sirajuddin Rafia telah bersara dan kini giat menjalankan perniagaan sendiri. Kepada mereka Selamat Maju Jaya, moga mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.. Amin.

No comments: