Monday, December 8, 2008

Datuk Ho Koh Chye...


Minggu ini sekali lagi saya kehilangan seorang sahabat yang sukar di cari ganti. Datuk Ho Koh Chye telah meninggal dunia pada hari Rabu yang lepas. Saya mula mengenali beliau sebagai seorang pemain hoki kebangsaan dan sebagai rakan sepejabat di Kementerian Belia dan Sukan di awal tahun 80an.Kami sama-sama menjadi pegawai pengasas semasa penubuhan Majlis Sukan Negara. Walaupun saya telah berpindah namun persahabatan yang dijalin di Majlis Sukan Negara itu berkekalan hingga ke saat akhir hayat beliau.

Beliau merupakan ahli sukan yang tulin, dedikasi dengan tugasnya, 'a gentleman', dan seorang sahabat yang ikhlas. Sesungguhnya, Malaysia dan dunia sukan kehilangan seorang tokoh yang sukar di cari ganti....

Saturday, December 6, 2008

ibadat haji....


Hari ini berjuta umat islam dari seluruh dunia sedang menuju ke Arafah bagi melaksanakan wukuf, salah satu rukun haji. Dengan berpakaian ihram serba putih tanpa mengenal darjat dan warna kulit, umat islam dengan satu niat menjadi tetamu Allah swt. Kepada mereka sama-sama kita panjatkan doa, moga mereka berada dalam keadaan selamat dan dapat melaksanakan semua rukun haji dengan sempurna dan selamat kembali ke tanah air. Amin.

Wednesday, December 3, 2008

'Malaysian malaysia'......ala Datuk Mukhriz


Saranan Datuk Mukhriz supaya diujudkan satu sistem persekolahan yang menggunakan satu bahasa adalah satu saranan yang wajar dipertimbangkan. Saranan ini tidak banyak bezanya dengan saranan Raja Nazrin supaya semua rakyat Malaysia mengamalkan sikap 'dimana bumi di pijak, di situ langit di junjung'.....

Saya rasa Datuk Mukhriz tentu bersetuju dengan pihak pembangkang PKR, DAP dan PAS yang memperjuang keadilan dan kesamarataan pada rakyat Malaysia. Pihak yang tidak berpuashati dengan orang-orang melayu terus menerus mempersoalkan hak orang melayu hinggakan ada rakan kongsi saperti Timbalan Presiden MCA sendiri, Dr. Chua Soi Lek terus menerus menghiris hati orang melayu.

Cadangan ini sudah tentu akhirnya untuk mengujudkan satu masyarakat Malaysia saperti yang dikehendaki oleh semua pihak sekarang ini iaitu 'Malaysian Malaysia'

Sama-sama kita tunggu 'sokongan' dari Pakatan Rakyat' dan rakan kongsi BN yang begitu lantang mahukan kesamarataan dari segi hak atas andaian mereka juga rakyat Malaysia. Harap-harap tiadalah 'double standard' pula daripada DAP, PKR dll jaguh dan pejuang yang sering menidakkan toleransi melayu ketika ini.........

Wednesday, November 26, 2008

Datuk Sirajuddin Rafia dalam kenangan........


Sebenarnya saya hanya baru semalam mengetahui rakan saya, Datuk Sirajuddin Rafia, bekas Penolong Ketua Pengarang Utusan Melayu telah kembali Ke Rahmatullah pada 8November yang lalu. Al-Fatihah , moga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang mukmin...

Kami berkawan sejak tahun 80an lagi. Beliau tinggal di Jalan Gurney bersama seorang rakan baik saya. Kami bekerja di Wisma Keramat. Jadi, rumah rakan saya inilah tempat berkumpul pada masa tersebut.Beliau sepatutnya bertugas sebagai setiausaha akhbar seorang menteri pada ketika itu tetapi beliau menolak jawatan tersebut kerana ingin terus kekal di Utusan.

Tahun 1990, saya lagi sekali bertemu beliau di London. Boleh dikatakan setiap minggu kami bersama. Saya akan bermalam di rumah beliau di London setiap kali turun ke London. Di situ, saya diperkenalkan kepada Kak Teh (Zaharah Othman) dan Wan Hulaimi (Awang Goneng) suaminya, juga dengan Datuk Fauzi (NST)yang juga berada di London ketika itu. Selama lebih setahun saya berulang alik ke rumah beliau dan telah mengenali semua ahli keluarga, isteri,anak-anak dan juga adik beliau.

Saya mengikuti suka duka beliau di sana. Banyak VVIP yang diperkenalkan kepada saya oleh Datuk Sirajuddin. Setengah dari mereka masih kekal menjadi sahabat baik. Banyak sahabat-sahabat di Lorong Gurney, di Plaza Hotel, Quality Hotel dan di Kelantan masih kekal sebagai sahabat. Datuk Sirajuddin di mana sahaja, beliau tetap sama, baik, peramah amat menghargai kawan.

Persahabatan itu berterusan walaupun kami telah kembali ke Malaysia dan saya berkhidmat di Kedah.. Setiap masa terluang bila di Kuala Lumpur kami sering berjumpa dengan pelbagai cerita yang tidak pernah habis. Bagaimana lewat sekali pun kalau beliau berjanji akhirnya beliau akan muncul juga..

Telah banyak diperkatakan oleh kawan-kawan tentang sifat-sifat baik Allahyarham.. Saya cuma ingin menambah.. Amat sukar mencari kawan saperti Datuk Sirajuddin Rafia.. Kepada saya, satu kehilangan yang sukar di ganti. Kepada ahli keluarganya saya harap banyak bersabar dan reda dengan ketentuan Ilahi. Saya doakan moga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin....

Zahid Hamidi...apa sudah jadi??...satu episod yang memalukan..

Fatwa berkenaan amalan yoga yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan telah mendapat tentangan dari dua buah negeri, Selangor dan Perak. Sehingga kini masih tidak ada komen dari Pak Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab tentang agama iaitu MP Datuk Zahid Hamidi.

Lagi, contoh klasik bagaimana Menteri yang ada sekarang gagal mengurus kementerian, polisi dan dasar yang ingin diperkenalkan kepada rakyat. Saya tidak mahu mempersoalkan mengenai fatwa yang diberikan. Yang dipersoalkan ialah cara bagaimana ianya di kendalikan. Perkara yang asas, tidak di ambilkira. Semua orang tahu bidang agama adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan DYMM Sultan yang berkenaan. Dalam hal ini jelas sekali negeri dan DYMM Sultan tidak dimaklumkan terlebih dahulu. Ini merupakan kesilapan yang tidak sepaptutnya berlaku!

Agama Islam mendapat publisiti yang burok dari pandangan awam dan rakyat. Lebih burok, DYMM Sultan dan kerajaan dari dua buah negeri tidak mahu menerima/mengikut fatwa yang dikeluarkan. Jika semua pihak kerajaan pusat dan Majlis Fatwa lebih berhati-hati dan melalui proses yang betul sudah tentu episod yang memalukan ini tidak berlaku. Agama Islam mendapat publisiti burok, seolah-olah tidak ada keseragaman hukum dan perlaksanaannya. ,.

Siapa yang bertanggungjawab??? Menteri bertanggungjawab mendiamkan diri!! Ini lah kualiti Menteri yang kita ada di Malaysia masakini. Itu pun lambat siang ingin bertanding memegang jawatan tinggi dalam parti....Memalukan...

Monday, November 24, 2008

Raja Nazrin



Dimana bumi di pijak , di situ langit di junjung. Di Malaysia, orang-orang melayu yang menjadi tuan rumah, menjadi penerima golongan imigran telah menerima dengan baik kesemua mereka dahulu, sekarang dan mungkin selamanya. Orang melayu tidak banyak soal, amat bertolak ansur dan dalam kata lain menerima sosial kontrak yang telah di persetujui semasa mereka ingin mencapai kemerdekaan dulu. Lebih dari itu mereka tidak mempersoalkan semua bentuk persetujuan masa lampau....

Bagi imigran yang mendatang, apa yang di minta hanyalah supaya mereka menerima bahawa telah ada persetujuan dan kontrak sosial. Mereka harus menerima institusi yang sedia ada, apa yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Mereka di minta tidak mengungkit-ungkit semua perkara yang telah di persetujui sebelum ini.Rakyat Malaysia berketurunan imigran juga harus dan mesti menerima kenyataan ini.

Majoriti rakyat Malaysia inginkan kedamaian, sebuah negara yang makmur,aman dan keselamatan mereka sentiasa terjamin. Rakyat Malaysia mahu mempertahankan negara mereka dari ancaman musuh. Rakyat Malaysia juga mahu mereka di kenali sebagai orang Malaysia. Jadi, yang minoriti, yang masih mengungkit-ungkit soal ini, terutama politikus yang berfikiran sempit dengan fahaman perkauman, chauvanis, harus mengambil ingatan tentang pesanan di atas.

Pembentukan negara bangsa yang di kenal sebagai Malaysia, akan lebih mudah di bentuk, bilamana penerima dan pendatang sama-sama menghormati persetujuan yang telah termaktub dalam perlembagaan. Moga Malaysia dan rakyat Malaysia terus matang dan dapat hidup aman damai....

Thursday, November 20, 2008

menteri 10%........

Semalam Menteri Kerjaraya dengan bangga dan tersenyum lebar mengumumkan penurunan kadar 10% bayaran tol kepada pengguna lebuhraya PLUS bagi waktu 12.00 tgengah malam hingga 7.00 pagi.

Lawak Menteri kerajaan Malaysia ini! Pernahkah mereka fikir siapa yang akan menggunakan lebuhraya pada ketika itu. Yang jelas, kalau di KL ini ialah kutu rayau, kaki disko, pekerja kelab malam adalah pekerja malam yang balik pukul tiga atau empat pagi. Kalau ada pun pekerja yang bertugas malam, kebanyakkannya habis bekerja pada pukul 7.00 pagi. Jadi kepada siapa faedah ini ditujukan. Majoriti pengguna akan menggunakan lebuhraya pada waktu pagi dan petang.

Kadang-kadang pelik memikirkan camana otak menteri begini yang begitu mudah menjadi sebahagian dari kempen mendapat publisiti murah yang langsung tidak memberi faedah kepada rakyat! Tidak habis-habis menteri dan rakyat diperbodohkan oleh syarikat saperti ini.... dan Menteri menerima sahaja seadanya...

Friday, November 14, 2008

...'intelectual infrastructure' vs 'physical infrastructure'....

Bakal PM Malaysia semalam menyeru supaya universiti di Malaysia bergerak mara ke era ' intelectual renaissance' dan TIDAK hanya mementingkan kecantikan, kebesaran saiz fizikal kampus sahaja.. Beliau berharap minda generasi pelajar di Malaysia dapat di bentuk supaya sentiasa mempunyai keupayaan ingin tahu, ingin bertanya dll...

Satu seruan atau arahan yang berat kepada dua Pak Menteri Pendidikan, pemimpin universiti( terutama IPTA) di Malaysia. Semua peringkat pegawai di EPU, di MOHE, di Perbendaharaan dan di IPTA, sebut sahaja universiti, yang terfikir di benak mereka hanyalah kampus tersergam indah, belanjawan RM berbillion, etc..... Jika tidak, bukanlah universiti namanya. Masing-masing mempunyai motivasi yang berlainan dalam usaha menubuhkan universiti yang berkampus dan berbelanja besar....

Di satu pihak lagi, di Malaysia masakini, IPTS atau universiti swasta sedang giat mengembangkan segala cabang ilmu, dengan memberi penekanan yang sedikit kepada keluasan dan kebesaran kampus, bersiz kecil, kurang birokrasi, cukup anjal, cepat bertindak, jalinan kerjasama di merata dunia dan sedang bergerak pantas.Universiti ini juga diurus dengan secara yang berkesan, kos yang efektif dan dalam banyak hal semuanya mempunyai tahap pulangan keuntungan yang baik kepada syarikat atau universiti. Lebih dari itu, boleh dikatakan semua universiti ini, menggunakan bahasa inggeris dan dengan demikian majoriti pelajarnya mempunyai tahap kecekapan bertutur dalam bahasa inggeris secara puratanya lebih baik dari universiti IPTA.

Sesuatu yang malang, kadar pengangguran di kalangan siswazah IPTA adalah lebih tinggi berbanding dengan siswazah IPTS.

Tahniah! bakal Perdana Menteri Malaysia... sama-sama kita tunggu perubahan yang diharapkan..

Wednesday, November 12, 2008

sesiapa pun boleh jadi PM Malaysia.....

Sesiapa pun boleh jadi Perdana Menteri Malaysia, kata Pak Lah. PM Singapura kata Singapura belum bersedia menerima Perdana Menteri dari kalangan orang melayu.

Begitulah bila bercakap orang menggunakan akal dan fikiran. UMNO semakin hanyut dalam kebodohan pemimpinnya....

Thursday, November 6, 2008

EPF.....fikir 10 kali

Salah satu cadangan DS Najib dalam pembentangan stimuli belanjawan 2009 ialah memberi pilihan pengurangan potongan EPF kepada pencarum. Dengan pemotongan 3% tersebut, di jangka pencarum mempunyai lebih dari RM4 billion untuk dibelanjakan.

Langkah ini mungkin bijak di pihak kerajaan kerana dapat membolehkan pengguna membelanjakan wang tersebut dalam ekonomi negara. Jika dikira kesan penggandaan wang tersebut sudah tentu faedahnya besar kepada ekonomi.

Sebagai pencarum, saya fikir dan kita perlu fikir cukup panjang. Wang potongan EPF dari pencarum dan majikan adalah untuk kegunaan ketika umur persaraan nanti. Dengan keadaan inflasi yang tinggi sekarang ini, adalah di jangka keperluan pesara pada masa hadapan adalah amat tinggi, mungkin mencecah ke paras jutaan ringgit.Walaupun kadar dividen EPF hanya pada kadar 6-7% setahun tetapi jika di ambilkira faktor penggandaan wang simpanan ini sudah tentu ianya merupakan satu tabungan yang penting kepada pencarum.

Baru-baru ini wang EPF juga digunakan untuk membeli saham syarikat terpilih yang jatuh teruk di KLSE. Setiap kali negara mempunyai masaalah, seringkali wang EPF, wang pekerja yang menjadi sasaran, bukan sekali malah berkali-kali ianya digunakan. Kerajaan perlu memikirkan satu cara lain dengan mengadakan satu tabungan yang kusus supaya bila ada keadaan mendesak wang ini boleh digunakan.. Bukannya menukar risiko tersebut kepada pencarum dan pekerja di negara ini.

Jadi, hati-hatilah membuat pilihan dan keputusan kerana pencarum harus memberi perhatian terhadap kebajikan sendiri terlebih dahulu. Mementingkan pendapatan jangka pendek akan merugikan keperluan jangka panjang..

Wednesday, November 5, 2008

Perubahan....... Barack Obama


Sah! Barack Obama menjadi Presiden Amerika yang ke44. Satu fenomena baru, beberapa kawasan kuat parti Republikan tumbang kepada Parti Demokrat. Bagi Demokrat bukan sahaja jawatan presiden, malah mereka menguasai Dewan Senate dan Kongres.!Kemenangan rakyat Amerika yang mahukan perubahan...

Antara analisa kemenangan tersebut, beliau mempunyai kemahiran serta organisasi kempen yang hebat, keupayaan menyatukan pengikut Hillary Clinton, kemenangan beliau berhujjah dengan Mc Cain dan sudah tentu di bantu oleh suasana, faktor-faktor persekitaran semasa saperti kemerosotan populariti Parti Republikan dan Bush, merudumnya ekonomi dan pasaran saham Amerika, peperangan di Iraq dll.. Beliau hanya berkempen secara serius hanya dalam masa 2 tahun. Tiada siapa percaya bahawa beliau akan menjadi presiden Amerika 4 tahun lalu.. empat tahun lalu.

Di saat merayakan kemenangan, terserlah sifat-sifat pemimpin bergelar presiden. Kepada yang kalah dan kepada yang tidak menyokong, beliau memberikan pujian, harapan dan jaminan yang suara mereka akan di dengar.. Mc Cain, yang kalah, juga memberikan ucapan yang penuh rasa tanggungjawab dan akan bekerja bersama Obama untuk rakyat Amerika.. Cukup matang, cukup berhemah.....

Alangkah indah jika ianya berlaku di Malaysia.. Banyak pengajaran kepada pemimpin politik pemerintah dan pembangkang Malaysia... kalau masih mahu belajar.!

Monday, November 3, 2008

Najib, presiden UMNO Malaysia....

Berdasarkan pencalunan setakat semalam, jelas DS Najib Tun Razak telah menang tanpa bertanding jawatan Presiden UMNO Malaysia. Tahniah, banyak tindakan kearah memperbaharui UMNO dan Barisan Nasional yang perlu di buat.




Jawatan Timbalan Presiden ternyata tidak menjadi begitu mudah kepada Tan Sri Mahyuddin Yassin. Pencabar terdekat Dato Ali Rastam sedang menghampiri garis kelayakan dengan diikuti secara dekat oleh Tan Sri Muhammad Taib.

Manakala jawatan Naib Presiden, Tan Sri Isa Samad merupakan calun terbaru yang layak bertanding selain dari Dato Hishamuddin, Dato Zahid Hamidi, Dato Khaled, Dato Shfei Afdal dan Dato Seri Syed Hamid Albar. Meriah, masa berkempen masih panjang lagi dan macam-macam boleh terjadi.

Sehingga kini, politik wang jelas berlaku khususnya bagi penamaan calun di peringkat Timbalan Presiden. Jika keadaan ini berterusan, adalah tidak mustahil ketiga calun akan berentap bagi jawatan nombor dua parti dan seterusnya jawatan Timbalan Perdana Menteri, Malaysia. Adalah sesuatu yang malang kepada rakyat jika Malaysia mendapat TPM berdasarkan kriteria politik wang dalam UMNO.

Para perwakilan UMNO Malaysia, berhadapan dengan idealisma perjuangan mereka dan realiti politik wang dalam UMNO. Kudis dan barah ini akan menghantui orang-orang UMNO buat selamanya jika tersilap percaturan. Mereka berada di persimpangan jalan, persimpangan untuk menentukan sokongan akar umbi demi kelangsungan hidup UMNO. Kesilapan kali ini akan membawa padah kepada UMNO dan BN daklam pilihanraya ke 13 nanti. Kesilapan pemilihan ini akan menyebabkan orang UMNO dan rakyat Malaysia akan sekali lagi akan menghukum UMNO dan BN.

Waspadalah.......

Wednesday, October 29, 2008

Duit kebas, undi tak di kasi.......

Minggu ini sempat bersembang dengan kawan-kawan di Kedah. Secara kebetulan mereka terlibat dan turut berada di mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kuala Kedah pada hari Ahad yang lalu. Hebat! Seolah-olah tidak percaya tentang cerita mereka, tetapi mereka berada di sana, melihat dan mendengar!

Wang bertukar tangan hingga di depan pintu dewan mesyuarat. Sampul surat dihulur secara berdepan! Katanya RM300 sahaja, satu perwakilan! Di Jerlun mereka berjaya mendapat undi perwakilan dengan cara yang sama. Malangnya di Kuala Kedah, kedua calun yang ingin sangat bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO telah menghantar wakil tetap mereka bukan sahaja di hotel malah hingga ke dewan persidangan. Malangnya calun tersebut telah kalah dengan agak teruk.

Akhirnya, calun yang tidak berwakil, Tan Sri Mahyuddin dicalunkan dengan mendapat undi terbanyak!

Sukar untuk membuat kesimpulan (1) perwakilan UMNO BODOH kerana begitu mudah di beli (2) mereka cerdik, walaupun mengambil wang tapi undi tak di beri!(3)Calun yang bertanding punya begitu banyak wang (4) Pelik lembaga disiplin tak dapat menghidu kes begini!

UMNO sudah akhir zaman........

Wednesday, October 22, 2008

ajen calun berkeliaran di mesyuarat UMNO bahagian.....

Bagai tidak percaya, begitu mudah para perwakilan UMNO di beli dengan wang..Di sana sini kita dengar perwakilan mendapat RM 50 hingga RM ..... untuk mengundi calun A atau calun B.

Yang lebih menyedihkan, calon bagi jawatan tertinggi parti, memegang jawatan tertinggi parti, juga membuat kerja yang sama. Saya berkesempatan melihat dan mendengar bagaimana wakil calon tertentu di Jerlun pada hari Isnin 20 October yang lepas berkeliaran di luar dewan mesyuarat. Semasa waktu rehat dan makan tengahari ajen-ajen ini secara terangan berjumpa dan berkempen untuk boss mereka. Mereka menunggu hingga selesai penamaan calon jawatan tertinggi selesai. Jelas, dari kabar dan bisik-bisik perwakilan mereka di bayar bagi mencalun dan menyokong calun berkenaan bagi jawatan tertinggi parti. Akhirnya beliau mendapat pencalunan penting tersebut setelah bersaing dengan calun-calun yang lain.

Murahnya, harga satu pencalunan untuk memegang jawatan tertinggi parti. Perbuatan memberi rasuah dan membeli undi dari kalangan orang yang bertanding jawatan tertinggi parti ini amat mengaibkan. Perbuatan menghantar ajen-ajen saperti ini terang-terangan berkempen di luar dewan amat keji. Calun ini patut dikenakan tindakan tatertib dan di gantung dari UMNO. Tidak serik-serik, kabarnya calun ini pernah di tahan di luar negara seketika dulu...

Lebih memalukan, para perwakilan Jerlun (yang menerima wang) menyokong beliau kerana mendapat habuan, juga patut di keji. Kriteria pemilihan yang cetek, berunsur rasuah tanpa mengira kualiti pemimpin amat menjijikkan dan memalukan. UMNO tidak pernah belajar dari sejarah dan mudah lupa.......

Friday, October 17, 2008

gambar seribu makna......



Lawak juga tengok gambar Syed Hamid ( menteri pembela Pak Lah bila Tun mengkritik Pak Lah pasal pembatalan pembinaan jambatan ke Singapura dulu..). ehm.ehm. banyak 'political has been'di jamuan hari raya rumah Dato Raof bekas Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia.UMNO la katakan.......

bila tua dah mula nyayuk.....

Pak Lah menggesa pihak pengguna dan persatuan pengguna berkerja keras bagi menurunkan harga barang. Pelik, PM menaikkan harga minyak tanpa pertimbangan dan mengakibatkan kenaikan harga yang melampau serta tak terkawal. Sekarang merayu pula rakyat, supaya mengawal harga. Lawak betul kalau dah semakin nyayuk.

Lagi cerita orang tua yang semakin nyanyuk dalam politik. Tengku Razaleigh menyokong Dato Dr. Rais supaya bahagian memberi peluang kepada calun yang belum ada lesen untuk bertanding dalam pemilihan akan datang. Kabarnya Shahidan dan Syed Hamid pun menyokong! Tak pernah faham, tak faham-faham bahawa masanya sudah sampai, bagilah ruang kepada yang muda-muda menerajui parti. Di bahagian-bahagian pun masih banyak yang dah sepatutnya membuka ruang kepada orang muda, masih lagi mahu menawarkan diri masing-masing....

Pemimpin UMNO... makin tua dah makin nyanyuk..

Friday, October 10, 2008

Kalimullah lagi........

Timbalan pengerusi eksekutif dan bekas ketua pengarang kumpulan NST yang di lantik oleh Pak Lah dikabarkan telah meletak jawatan di NST. Awal sedikit dari boss beliau yang akan menamatkan tugasnya sebagai PM pada bulan Mach ini. Agaknya Pak Lah dah tidak lagi mahu mendengar "nasihat" beliau..

Dalam saat ini pun masih mahu menjadi "penasihat" lagi kepada YAB Dato Seri Najib melalui artikel beliau di dalam NST pada hari ini.. Lebih kurang ajar, kesempatan yang sama digunakan juga untuk mengutuk Tun Dr. Mahathir.Dan dalam masa yang sama Tan Sri Mahyuddin juga turut di belasah kerana menjadi pencetus perletakan jawatan oleh Pak Lah..

Dalam sejarah lebih kurang lima tahun pemerintahan Pak Lah dan dalam sejarah lebih kurang lima tahun beliau di NST, semua kemusnahan yang ditinggalkan kepada UMNO. Pak Lah meninggalkan lima negeri pembangkang kepada penggantinya. Kalimullah meninggalkan NST yang kian merudum jumlah pembacanya....

kalau dah nak berhenti tu lebih baik diam dan tidak terus merosakkan institusi itu...pergilah bersara dengan baik.

Wednesday, October 8, 2008

selamat bersara...

Pak Lah akhirnya membuat keputusan yang bijak dengan mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatannya pada perhimpunan agong UMNO yang akan datang. Kepada beliau kita ucapkan selamat bersara dan berdoa moga beliau akan terus kekal sihat walafiat dan bahagia di samping kaum keluarga.. insyaAllah jasamu akan di kenang oleh rakyat Malaysia.

EKONOMI, EKONOMI, EKONOMI tiada ada perkataan yang lebih penting lagi kepada sesiapa pun yang mengambil alih kepimpinan negara selepas ini. Keadaan EKONOMI yang sedang meruncing di USA dan kesannya kepada Malaysia memerlukan satu tindakan yang bijak, pantas dan berkesan!! Segala pertimbangan POLITIK harus diketepikan buat sementara waktu pada ketika ini. Seluruh keupayaan kepimpinan dan negara harus ditumpukan kepada usaha pemulihan ekonomi negara...

Peringkat kematangan kita di uji lagi......

Friday, October 3, 2008

zahid hamidi nak jadi timbalan presiden?????

Banyak kawan-kawan mengurut dada bila mendengar berita menteri ini nak jadi Timbalan PM pulak! Kadok dah mula nak naik junjung! Salah satu alasan yang digunakan ialah cara Tan Sri Mahyuddin menyuruh Pak Lah berhenti yang kononnya tidak mengikut budaya melayu?.. Yang tidak kurang menarik pula ia juga cuba mengaitkan keputusan tersebut atas kehendak "akar umbi".. Agaknya akar umbi yang sama dengan akar umbi di PICC hari itu yang meminta supaya Pak Lah terus kekal sebagai PM tu kot?? Memang betul sejak akhir-akhir ini perkataan "akar umbi" cukup banyak disalahgunakan oleh orang politik!

Kalau tak silap Zahid ini lah yang pernah menjadi Ketua Pemuda Umno, zaman Anwar Ibrahim dulu. Masih ingatkah lagi, hampir semua ketua pemuda yang menjadi exco pemuda ketika itu mempunyai Merc 320. Entah berapa ramai lagi perwakilan umno yang mendapat kad kredit BSN ketika itu! Mana dapat duit begitu banyak hingga hampir semua mereka pakai Merc besar. Dia ni jugalah yang membuat ucapan berapi-api kononnya adanya berlaku amalan kkn..(sekadar meminjam kata-kata dari seberang)dalam pemerintahan pada masa itu dalam perhimpunan pemuda umno. Dia ini jugalah yang menghilangkan diri ke Sabah selepas perhimpunan umno dan akhirnya di tahan polis di Sabah..

Dia ni jugalah yang mengaku bahawa teks ucapannya disediakan oleh orang lain. Jadi dalam kata lain dia jadi ketua pemuda umno, Malaysia, menjadi alat orang lain untuk mengutuk kerajaan pada masa itu! Dia ni jugalah yang di beri peluang kedua oleh YAB Tun Mahathir dalam politik dan pentadbiran..akhirnya..

Terbaru, dengar kabar dia ni jugalah yang bangun berdiri membantah dalam dalam mesyuarat MKT Umno baru-baru bilamana YAB Menteri Besar Johor mempersoalkan tempoh peralihan kepimpinan yang agak lama pada tahun 2010 saperti yang dipersetujui sebelumnya.Kononnya dalam MKT sekarang dia inilah yang memainkan peranan sebagai ayam tambatan Pak Lah. Dalam kata lain dia ini membantah supaya jangan dipercepatkan peralihan kuasa dari Pak Lah kepada Dato Seri Najib!

Sekarang ini bercita-cita pula menjadi regu Najib!

Orang macam ini pun boleh hidup dalam UMNO...

Tuesday, September 30, 2008

selamat hari raya aidilfitri........

besok sekali lagi kita merayakan aidilfitri.. Di seluruh dunia dan juga di Malaysia masih terlalu ramai keluarga yang hidup dalam kedaan yang daif, masih ramai anak-anak yatim, masih ramai fakir miskin yang memerlukan pertolongan. Di sebalik keriangan kita menyambut kedatangan aidilfitri pada tahun ini, masih terdapat saudara mara islam kita yang memerlukan bantuan. Jadi, sedikit pengorbanan dari kita kepada mereka ini adalah di tuntut.. Moga amal jariah dan sedekah kita dibeerkati Allah s.w.t.

Selamat hari raya aidulfitri, maaf zahir batin.

Saturday, September 27, 2008

dari 100,000 kepada 60,000 PhD pada tahun 2020...

Menteri Pelajaran Tinggi yang lalu mahukan 100,000 PhD pada tahun 2020 tetapi menteri yang baru sekarang ini mengurangkan sasarannya kepada 60,000... Lagi sasaran bahan lawak ahli politik yang menjadi menteri Pendidikan Tinggi.

Katanya lagi, sekarang ada 3,914 orang yang sedang di taja pengajian mereka di peringkat PhD. Mereka ini memerlukan masa sekurangnya tiga tahun untuk menyiapkan penyelidikan dan tesis mereka. Kita masih ada lebih kurang 12 tahun lagi bagi mencapai sasaran ini. Ini bermakna, mulai tahun depan kita perlu menghantar/menaja sekurangnya 5,000 orang setiap tahun untuk memebuat PhD....

Anggaran kasar di atas belum lagi mengambilkira bidang PhD apa yang telah dan akan di taja? Belum lagi di kira berapa kemampuan universiti tempatan menyelia penyelidikan penuntut di peringkat PhD! Belum juga di kira berapa calun PhD dari IPTA yang boleh dilepaskan bagi membuat PhD. Belum di kira berapa banyak calun yang sesuai dan layak untuk membuat PhD? kalau semuanya dapat di penuhi pun, berapa peratus yang akhirnya berjaya menyelesaikan kajian dan layak mendapat PhD ?

Pelbagai permasaalan sekarang ini ujud sama ada di Kementerian Pelajaran atau di Keenterian Pengajian Tinggi. Kalau nak digariskan satu persatu satu hari tak habis..Terlalu banyak. Persoalanya apakah keutamaan pendidikan negara masakini?

Kadang-kadang bila mendengar cakap orang politik menegenai pendidikan negara di peringkat rendah atau pun tinggi penuh dengan ide yang buruk ini amat menakutkan. Benarlah kata Prof Di Raja Engku Aziz seketika dulu, mereka ini laksana tikus membaiki labu.......

Friday, September 26, 2008

Perdana Menteri letak jawatan... JUN 2009..???

Adios Pak Lah! Selamat menyertai kelab orang pencen MUBARAK!

Hari ini di jangka mesyuarat MKT UMNO meluluskan penangguhan mesyuarat perwakilan UMNO peringkat bahagian yang sepatutnya bermula 9 Oktober ini ke bulan Mac 2009. Berikutan dari itu tarikh perhimpunan UMNO yang sepatutnya bermula pertengahan Disember ini juga di jangka akan ditunda kepada Jun 2009. Pak Lah juga DI JANGKA akam meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Presiden UMNO. Begitulah cara UMNO!!

Persoalannya jika sudah nak berhenti mengapa perlunya menangguhkan ke tahun hadapan. Terus sahaja buat peristiharan yang beliau tidak akan bertanding dan melepaskan jawatannya kepada Presiden baru dalam perhimpunan pada bulan Disember nanti. Tanda tanya mengenai agenda Pak Lah mahu bergayut terus dengan jawatan ini menambahkan lagi keresahan ahli UMNO dan rakyat di seluruh negara. Adalah sukar mencari jawapan lain selain dari kepentingan diri yang menjadi punca utama kelambatan dan kelengahan ini.

Pada hari ini akan adalah komen-komen kaki ampu bodek MKT UMNO yang akan merasionalkan proses peralihan ini dengan pujian melimpah ruah. Pada mereka ini persoalan kepimpinan negara yang menuntut tindakan segera dan berkesan tidak penting.
Segala kemelut ekonomi dunia dan negara yang bercelaru di luar sana menjadi persoalan kedua asalkan ego dan nafsu mereka tidak tercalar. Penuh dengan hipokrasi!

UMNO sekarang initidak pernah sedar, persoalan rakyat, persoalan negara dan kepimpinan adalah lebih penting dari kepentingan individu, hatta setinggi mana pun kedudukanya. Yang demikian, membuat keputusan supaya Pak Lah beredar segera atau terus bercuti setakat yang beliau layak, atau terus berhenti adalah satu tindakan yang rasional dan munasabah. Rakyat sudah muak, banyak yang perlu dilakukan, Negara harus bergerak ke depan.

Pak Lah saga perlu ditinggalkan segera!!

Terkini!

Petang tadi diumumkan mengenai penangguhan mesyuarat Agung UMNO ke bulan Mac 2009. Manakala mesyuarat di peringkat bahagian diteruskan saperti yang dijadualkan. ini bermakna jangka hayat Pak Lah dalam politik semakin singkat dari yang dirancangkan.Beliau juga akan mengumumkan sendiri sebelum mesyuarat bahagian bermula samada hendak mempertahankan jawatan atau sebaliknya. Orang melayu la katakan, masih lagi berdrama,masih lagi mahu menarik bengan dalam tepung, masih lagi mahu memberi muka, begitulah UMNO kini dan selamanya......

Apa-apa pun Malaysia dah cukup terseksa, sekurangnya jelas akan berlaku peralihan kuasa..Sekali lagi Malaysia harus melupakan peristiwa malang kepimpinan negara ini dan harus memandang ke depan......

Tuesday, September 23, 2008

umno masih menyanyi lagu lama.....

Di USA, beberapa organisasi raksaksa tumbang dan beberapa lagi sedang tenat. Pasaran saham di US dan Eropah turut menerima kesan dan tentu sekali di Malaysia. Inflasi, mengikut kadar resmi telah melebehi 8%. Harga minyak telah turun di bawah paras US100. Pak Lah telah menyerahkan Perbendaharaan kepada Najib.

Pakatan Rakyat di bawah kepimpinan Anwar tidak henti-henti dengan peperangan psikologi bagi mengujudkan satu bentuk kepercayaan umum mengenai kemungkinan perubahan politik di Malaysia. Sedikit sebanyak Anwar berjaya mengujudkan satu suasana pendapat umum dan kepercayaan bahawa perubahan kepimpinan negara adalah perlu dan BN sebenarnya gyah dan akan tumbang!Yang malang orang BN sendiri mula mempercayai gagasan ini.. Apa pun kegawatan politik di Malaysia kian meruncing...

Mesyuarat MT UMNO dikatakan panas dengan gesaan supaya Pak Lah berundur lebih awal, sebelum bahagian mengadakan mesyuarat atau mengumumkan pengunduran sebelum perhimpunan agong umno Disember ini. Malang bagi UMNO, masih banyak lagi yang mahukan pelan peralihan kuasa Pak Lah vs Najib diteruskan pada tahun 2010. Setakat ini UMNO Pulau Pinang dan UMNO Kelantan telah menyatakan sokongannya secara terbuka.

Ketika negara memerlukan kepimpinan negara bertindak cepat, berkesan dalam menangani pelabagi isu negara masakini, malangnya kepimpinan UMNO masih lagi berdolak dalik dan gagal memahami kehendak rakyat dan ahli UMNO akar umbi. Masih banyak lagi pemimpin yang masih memikirkan periok nasi masing-masing berbanding dengan masaalah rakyat.

Pak Lah sekali lagi gagal memahami kehendak ini dan masih lagi berdolak dalik untuk bergayut di jawatannya. Pemimpin di sekeliling juga tidak membantu untuk bercakap benar dan menerima kenyataan. Sesungguhnya hanya pemimpin yang berjiwa besar sahaja berupaya memahami kehendak rakyat dan bersedia berkorban dan mengenepikan kepentingan diri sendiri. Kepimpinan dan parti UMNO akan mendapat pengajaran dan penyesalan yang tiada gunanya lagi jika persoalan kepimpinan ini tidak diselesaikan secepat mungkin, secara cepat dan berkesan.

Saturday, September 6, 2008

umno perlu mohon maaf ??.........

Datuk Ahamad Bukit Bendera secara jelas dan tegas telah menyatakan pendapatnya! Mengapa saya perlu meminta maaf kepada orang-orang China Malaysia? Sementara itu Dato Seri Najib telah awal-awal lagi telah memohon maaf bagi pihak UMNO? Malang sungguh orang melayu UMNO hari ini. Seluruh Malaysia, tidak ada seorang pun ahli UMNO atau pemimpinnya yang membela Datuk Ahmad sebaliknya semuanya menikus dan semakin gentar.

Dato Seri Najib juga akan menerima nasib yang sama bilamana ada orang China dan sememangnya telah ada di dada blog tertentu yang telah menuntut beliau memohon maaf kepada masyarakat China akibat dari kata-kata beliau di Stadium TPCA satu masa lalu. Apakah Dato Ser Najib bersedia untuk memohon maaf bagi pihak dirinya pula kali ini?

Segalanya di anggap racist! Tidak adakah orang China yang mengatakan yang bukan-bukan kepada UMNO dan orang melayu? segala macam kata dari Lim Kit Siang dan Karpal Singh, DAP dan konsep 'Malaysian Malaysia', HINDRAF dengan kenyataannya dan pelbagai lagi yang kita dengar tentang Islam, tentang Perkara 152 & Perkara 153 Perlembagaan Malaysia telah di lontarkan kepada orang melayu. Adakah orang melayu menganggap perbuatan mereka itu sebagai racist?

Di seluruh dunia, di negara manakah yang orang China dan India mendapat hak saperti yang mereka dapat di Malaysia? Sebut apa saja, pelajaran? bahasa ibunda mereka? tempat ibadat? tempat tinggal? politik?, biasiswa?, peluang perniagaan? keselamatan? Semuanya di beri tanpa banyak soal dan di jamin pula oleh perlembagaan negara!!

Ahli politik macam Datuk Ahmad ada di mana-mana dalam apa juga sistem di seluruh dunia. Apa bezanya Datuk Ahmad dengan pemimpin parti politik tempatan yang lain saperti Lim Kit Siang, Karpal Singh, Hishamuddin dll.? Menonjolkan Datuk Ahmad seolah-oah beliau telah melakukan dosa yang amat besar di Malaysia ini adalah sesuatu yang menghairankan...

Di mana Pemuda harapan bangsa dan Puteri serikandi bangsa melayu UMNO ? Senyap dan sepi seribu bahasa? Ini adalah petanda-petanda sokongan yang UMNO akan hanyut dalam arus politik perubahan sekarang ini. Ahli dan pemimpin UMNO masih mabuk dengan perebutan kuasa di cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi dan mereka lupa orang melayu dan UMNO sedang di pijak dan di hina sebegitu rupa di bumi ini!

Thursday, September 4, 2008

Anwar ... jalan mudah ke Putrajaya ?

16 September sedang di nanti oleh semua pihak. Pelbagai berita telah dikeluarkan oleh pihak pembangkang dan BN bagi meyakinkan rakyat bahawa pada 16 September adalah hari bersejarah kepada Malaysia. Sudah tentu Pakatan Rakyat sedang bersiap sedia membentuk kerajaan baru dan BN pula masih lagi dalam sindrom penafian.

Rakyat menanti dengan penuh minat untuk melihat kemungkinan yang akan berlaku. Yang jelas PRU12 dan pilihanraya kecil Permatang Pauh telah menunjukkan bahawa rakyat mahukan PERUBAHAN! Di segenap lapisan rakyat seolah-olah ada tanggapan bahawa pemimpin yang ada sekarang tidak berguna (hopeless). Jadinya sebarang usaha untuk mengganti kepimpinan yang tidak berguna ini akan mendapat sokongan rakyat..

Pemimpin di anggap tidak berguna oleh rakyat atas berbagai sebab dan dalam berbagai keadaan. Perdana menteri Mori di anggap tidak berguna pada satu masa kerana masaalah mengambil mudah pelbagai isu pada masa itu di Jepun. Perdana Menteri Manmohon Singh di anggap tidak berguna oleh masyarakat Punjabi dan Sikh di India. Di Malaysia pada masakini Perdana Menteri@ Pak Lah di anggap tidak berguna, tiada harapan, tidak boleh di harap dalam menangani pelbagai isu politik, ekonomi, sosial dan isu pelbagai kaum di Malaysia.

Kepada ahli UMNO kalau ada pun yang tidak bersetuju tapi masih lagi akan mencalonkan Pak Lah sebagai Presiden. Pendirian begini berlaku kerana sikap kebanyakkan ahli dan pemimpin UMNO di peringkat bawah dan atasan masih lagi terperangkap dalam sistem feudal dalam UMNO. Jadinya soal kehendak majoroti rakyat sekarang ini, tidak dipedulikan oleh orang-orang UMNO. Dalam kata lain mereka masih percaya bahawa sistem mereka adalah yang terbaik dan akan kekal begitu selamanya. Mereka sesungguhnya lupa dan naif akan persekitaran yang berlaku sekarang ini.

Jadi 16 Sepetember ini, kepada pembangkang adalah satu perkara yang positif kerana mereka tahu itu yang dikehendaki oleh rakyat. Mereka akan dan terus berusaha menyakinkan MP dari pihak BN menyertai meraka. Saya tidak terkejut kalau mereka berjaya kerana mereka percaya, mereka yakin, mereka mempunyai matlamat yang jelas, punya visi yang jelas dan mempuyai barisan kepimpinan yang dinamik dan pilihan yang banyak.

Kalau pun mereka tidak berjaya pada 16 September ini, saya yakin PRU 13 mereka akan lebih berjaya dan akan membentuk kerajaan. Sebab utama ialah PERUBAHAN KEPIMPINAN yang dimahukan oleh rakyat!! Jadi ahli UMNO, ahli BN dan pemimpin UMNO dan BN hanya membuka jalan mudah kepada peralihan kepimpinan negara ini kerana mereka tidak sedar yang tetap sekarang ini hanyalah PERUBAHAN!!!!

Tuesday, September 2, 2008

selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan dan selamat berpuasa....

Harap masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan ke 51 dan selamat berpuasa kepada semua rakyat Malaysia dan umat Islam. Moga Malaysia akan terus aman dan dapat memberi harapan kepada rakyatnya. Bersama kita doakan moga perubahan kepimpinan negara berlaku dalam masa terdekat......

Wednesday, August 27, 2008

berhentilah wahai Perdana Menteri...........

PRU12 BN kalah di Pulau Pinang.Tak sampai lima bulan lagi sekali rakyat Pulau Pinang menolak kepimpinan BN. Di Permatang Pauh UMNO mempunyai ahli yang melebehi 27,000 orang dan ini bermakna orang UMNO sendiri membuat keputusan menolak kepimpinan UMNO dan BN. Siapa Pengerusi Perhubungan UMNO dan BARISAN NASIONAL di Pulau Pinang?????

Pak Lah bukti apa lagi yang mahu ditegakkan? Kepimpinan YAB telah di tolak oleh UMNO, oleh ahli komponen BN dan oleh rakyat Pulau Pinang. Berlaku adillah kepada UMNO dan BN dengan meletak jawatan seberapa segera supaya orang UMNO balik kepada UMNO, komponen BN tidak terhimpat dengan ketidakpuasan ahli mereka terhadap YAB. Jadi kalau ada pun sedikit maruah dan harga diri, berhentilah dengan serta merta wahai YAB Perdana Menteri !

Sunday, August 24, 2008

Permatang Pauh untuk PKR!!.........

Lebih kurang 48 jam lagi nasib BN akan ditentukan oleh pengundi di Permatang Pauh. Peluang untuk BN merampas kembali kawasan parlimen ini dari PKR adalah satu tugas yang amat berat. PRU12 jelas menunjukkan orang-orang India dan China telah memberikan undi mereka kepada PKR. Tidak kurang dari 10,000 pengundi telah beralih kepada PKR berbanding dengan majoriti pada tahun PRU 2004 di mana PKR hanya menang dengan majoriti 500 undi. Apakah lebih 10000 pengundi ini akan kembali kepada BN adalah persoalan yang sukar di jawab

Kehadiran Pak Lah selaku PM dan pengerusi BN tidak akan banyak membantu malah mungkin menjadi beban kepada BN.Begitu juga dengan pengumuman penurunan harga mnyak semalam tidak akan memberi sebarang kesan. Kebencian dan penolakan BN oleh pengundi telah mula dirasakan semenjak lepas PRU 2004. Kelemahan kepimpinan negara menangani pelbagai isu negara saperti kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, kelembapan ekonomi, kebimbangan mengenai keselamatan dalam negara, ketiadaan visi dan polisi yang jelas, rasuah dan amalan kroni pucuk pimpinan BN serta pelbagai isu lain berkaitan dengan soal hak dan kepentingan pelbagai kaum di Malaysia. Kebencian ini telah dijelmakan dalam PRU 12 baru-baru ini.

Jadi Permatang Pauh akan terus menunjukkan pola yang sama apatah lagi persoalan kenaikan harga minyak yang lepas masih lagi menjadi punca dendam dan kemarahan rakyat. Usaha memburukkan personaliti Anwar tidak akan memberi kesan. Ini bermakna BN dan PM masih lagi dipertanggungjawabkan mengenai segala pemasaalahan yang menimpa rakyat masakini. Berdasarkan perkara di atas adalah jelas PKR akan merayakan keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada minggu ini. Pengunduran Pak Lah mungkin akan mewngubah sedikit senario kekalahan BN pada masa akan datang......

Thursday, August 21, 2008

pemilihan dan hayat UMNO.......

Hujung minggu ini adalah hari terakhir pemilihan UMNO di peringkat cawangan di seluruh negara. Di jangka lebih 4,000 cawangan akan selesai mengadakan mesyuarat masing-masing. Saperti yang di jangka tidak banyak yang berani membuat resolusi mengenai isu peralihan kepimpinan. Apa yang lebih penting ialah kepentingan kelompok tertentu dalam mempertahankan jawatan di perongkat bahagian dan cadangan pemilihan AJK dan perwakilan bahagian ke Kuala Lumpur atau pun G7.

Paling mengecewakan, ahli-ahli di peringkat cawangan di heret dalam kancah politik yang kotor dalam penamaan dan pencalonan AJK bahagian. Nampaknya budaya lama, kepimpinan lama dan konsep 'patron-client' begitu dalam dalam akar umbi UMNO. Pemimpin pusat akan menggunakan pemimpin di peringkat bahagian ke tahap maksima demi mempertahan jawatan mereka di peringkat pusat khususnya di Majlis Tertinggi UMNO (MKT).Pemilihan AJK UMNO di peringkat cawangan dan bahagian melibatkan soal kepada siapa sokongan yang akan diberikan nanti. Jadinya, di peringkat cawangan lagi, pemilihan AJK tidak didsarkan kepada idealisma UMNO iaitu untuk bangsa, agama dan negara! Jadi soal merit, soal ketokohan kepimpinan, soal visi dll tidak menjadi ukuran langsung. Keadaan yang sama kita yakin akan berlaku bila pemilihan di peringkat bahagian nanti.

Berdasarkan senario di atas, adalah jelas bahawa soal pembaharuan, soal pemilihan kepimpinan, soal keperluan penggantian pemimpin untuk kelangsungan hayat UMNO dalam zaman ini tidak akan menjadi keutamaan ahli. Maka jadilah UMNO sebagai sebuah parti yang terus menerus bersifat feudal, tidak dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman dan lebih dari ianya akan menjadi semakin tidak relevan kepada rakyat Malaysia.
kepimpinan yang sedia ada juga tidak membantu malah menkadi liabiliti kepada UMNO.

persidangan bahagian dan pemilihan yang akan datang sudah tentu akan menjadi kayu ukur samada UMNO akan kekal atau akan menjadi sebahagian dari sejarah sapertimana yang berlaku kepada LDP di Jepun dan Parti Kongrss di India. Moga ahli UMNO akan sedar tentang tuntutan dan permasaalahan Malaysia masakini!.....

Saturday, August 9, 2008

gerhana di Malaysia.....

Lebih kurang dua minggu menghilang sekejap.Jauh dari alam maya. Jauh dari berita bercetak mahupun letronik. Memang terasa kedamaian dalam keadaan begitu. Ini semua kerana Malaysia tidak lagi dapat memberi keyakinan dan kedamaian. Selaku rakyat, segala peristiwa yang berlaku kebelakangan ini dengan keadaan politik semasa, sangat mengecewakan. Semua aspek kehidupan, sosial, ekonomi dan politik tidak memberi keyakinan kepada kita selaku rakyat Malaysia.!

Setiap pagi, setiap hari ketika bangun, terasa seolah Malaysia sedang menuju zaman kehancurran. Terasa meluat yang amat sangat, terasa bagaikan nak termuntah melihat kepimpinan negara menangani pelbagai isu semasa masakini.Tidak ada langsung rasa kehormatan diri, rasa bertanggungjawab, apatah lagi mengambil tanggungjawab moral tentang apa yang berlaku.

Inflasi yang menjadi-jadi seolah-olah tidak akan berhenti dan tanpa kawalan. Soal keselamatan dan jenayah yang tidak lagi terjamin dengan kebanjiran pendatang asing. Sebagai seorang yang berugama Islam dan berbangsa melayu di bumi Malaysia ini pun kita makin terdesak dan tertekan dengan pelbagai cabaran kaum lain. Pegawai kerajaan gagal menguatkuasakan segala undang-undang sedia ada. Kepada rakyat kemana badan hendak di bawa?..

Semua pemimpin politik samada pemerintah mahupun pembangkang pun tidak boleh di harap. Yang penting mereka gelojoh dalam merebut kuasa. Rasuah berleluasa sampai ke tahap yang memalukan negara. Polisi dalam mengurus krisis langsung tidak berkesan. Apakah kita sedang menuju kehancuran dan menjadi negara yang gagal!!?

Thursday, July 24, 2008

Jubli emas KDYMM Tuanku Sultan Kedah

Sebagai anak Kedah, saya mengambil kesempatan ini merafak sembah dan menjunjung kasih serta mengucapkan setinggi penghargaan dan tahniah ke atas KDYMM Tuanku Sultan Kedah, sempena dengan perayaan Jubli Emas Pemerintahan Tuanku di Negeri Kedah. Daulat Tuanku!

Saturday, July 12, 2008

2 tahun lagi.....

Sah Pak Lah mengumumkan akan menyerahkan kepimpinan UMNO kepada Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010. Ini bermakna dua tahun lagi penantian yang penuh dengan dengan ketidaktentuan kepada rakyat Malaysia.

Selaku rakyat Malaysia tidak apa lagi yang dapat dibanggakan akibat dari dasar dan polisi (jika ada ???)yang telah di buat ole Perdana Menteri ini. Melihat ke belakang, rasa bangga, rasa yakin sebagai rakyat Malaysia telah hilang angkara Perdana Menteri ini. Dulu, Kita bangga, kita yakin bila berhadapan dengan orang luar, negara luar, kerana kita setanding jika pun tidak lebih berbanding dengan mereka dari segala segi.

Dulu, kita tak pernah membiarkan Singapura cuba memijak kepala kita. Dulu kita di segani di merata dunia, di Bangsa bangsa Bersatu, di IOC, dalam Negara-Negara Berkecuali, ASEAN dan lain-lain forum antarabangsa. Kita boleh menyatakan pendirian kita secara jelas di forum antarabangsa. Kita di hormati lawan dan rakan.

Dulu, kita bangga dengan dasar-dasar ekonomi negara. Kita bangga dengan kepesatan pembangunan negara. Kita berbangga dengan Proton dan industri hiliran dalam industri automobil. kita bangga dengan dasar perindustrian yang jelas.Kita bangga dengan pencapaian rakyat Malaysia dalam berbagai bidang. Kita bangga dengan peluang yang diujudkan kepada anak-anak muda Malaysia. Yang jelas terdapat visi dan misi yang jelas dan lebih dari itu dasar-dasar di bentuk bagi mencapai visi dan misi tersebut.

Kehancuran dan kemusnahan yang berlaku di Malaysia sekarang ini amat teruk dan sukar di baiki. Negara jiran Malaysia tidak lagi menghormati Malaysia. Di peringkat antarabangsa jauh sekali. Bahkan Malaysia tidak lama lagi akan disenaraikan sebaris dengan beberapa negara di Afrika dan Kepulauan Carribean oleh United Kingdom. Rakyat negara ini diperlukan mendapatkan visa sebelum ke UK.

Dalam negeri, lagi teruk, taraf hidup rakyat jatuh ke tahap yang amat rendah akibat dari pengurusan ekonomi yang amat lemah. Kuasa perundingan orang melayu merudum dan amat lemah. Budaya politik tidak menampakkan sebarang kemajuan di semua peringkat samada pemerintah mahupun pembangkang. Akibatnya tahap keyakinan rakyat amat rendah.

Kepada ahli BN dan UMNO, kerajaan telah kehilangan kuasa di enam negeri. BN dan UMNO hanya ada nyawa ikan, itu pun dengan bantuan dari Sabah dan Sarawak. Terdapat krisi keyakinan rakyat terhadap BN dan UMNO.

Ketika kita memerlukan perubahan kepimpinan negara, ketika kita memerlukan tindakan segera, ketika kita perlu membuat pembaharuan dalam segala segi, pemimpin politik masih lagi bersikap mementingkan diri. Rasa tanggungjawab moral untuk melakukan perubahan langsung tidak ada. Mereka masih bersikap feudal dan mahu mengekalkan status quo. Jauh sekali mahu berfikir di luar kotak.

Begitu lah UMNO, semuanya memuji Pak Lah walaupun terpaksa menunggu dua tahn lagi, walaupun masa UMNO sudah tidak banyak masa sebelum kehilangan kuasa di negara Malaysia ini........

Wednesday, July 9, 2008

Malaysia oh Malaysia.........

Lebih seminggu tidak berada di Malaysia, macam-macam terjadi. Berita mengenai perebutan untuk menjadi pemimpin Malaysia mendapat liputan meluas di Hong Kong. Terpampang gambar DS Anwar dan DS Najib dengan ulasan dan analisis mengenai apa yang berlaku sekaran ini di Malaysia. Selaku rakyat Malaysia, keseluruhan episod amat memalukan!

Seminggu berlalu, pelbagai peristiwa tentang kelakuan ahli politik BN, pembangkang dan badan bukan kerajaan setiap hari dengan pelbagai tuduhan, perakuan sumpah, persidangan akhbar, laporan media cetak dan letronik dll. Semua ini menggambarkan perangai dan kelakuan pemimpin politik dan bakal-bakal pemimpin di negara ini! Politik kini telah menjadi terlalu kotor untuk di ikuti perkembangannya.!

Majoriti rakyat sedang bersusah payah menyesuaikan kehidupan dengan masaalah ekonomi yang kian menghimpit kehidupan mereka. Kenaikan harga minyak yang di sokong oleh semua anggota BN telah menyebabkan pelbagai kenaikan harga barang keperluan, inflasi terus meningkat, kualiti kehidupan rakyat semakin turun dan rata-rata terpaksa mengubah cara hidup, cara berbelanja, berjimat cermat. Kesimpulannya soal makan minum, soal kehidupan, soal memenuhi keperluan harian adalah soal nombor satu dalam diari kehidupan mereka masa kini.

Ahli-ahli politik sedang bercakaran, tuduh menuduh hingga sanggup keperingkat yang terlalu rendah sebagai manusia yang bertamaddun, sebagai seorang Islam dan berilmu! Pemimpin politik di semua peringkat, di peringkat nasional, di peringkat negeri, di peringkat bahagian dan tidak lama lagi di peringkat cawangan akan mula berebut jawatan. Yang penting jawatan dan kedudukan, yang penting habuan dan ganjaran.

Selaku rakyat biasa, fenomena di atas amat memalukan! Terasa muak dan kadang-kadang terasa bagaikan nak termuntah dengan perangai dan kelakuan mereka!... Kepada mereka inikah yang kita perlu menaruh harapan????

Monday, June 30, 2008

Anwar Ibrahim saga....

Sah Anwar kini berada di Kedutaan Turkey. Statusnya masih belum jelas samada sebagai pelarian, atau mendapatkan suaka politik atau mendapatkan perlindungan sementara yang kononnya beliau mendapat ancaman. Peristiwa ini berlaku selepas satu laporan polis telah di buat oleh pembantunya bahawa beliau telah di liwat oleh Anwar!

Sehingga kini pihak polis masih belum mengambil kenyataan dari Anwar.Dalam persidangan akhbar yang diadakan segala tuduhan ini telah dinafikan dan lebih dari itu ianya di anggap sebagai satu konspirasi baru pemimpin BN bagi menjatuhakan Anwar.

Yang menjadi tanda tanya mengapakah Anwar mengambil tindakan sebegitu rupa? Jika ada pertuduhan sebegini, pihak Polis harus di beri peluang menjalakan siasatan terlebih dahulu. Mahkamah adalah tempat terbaik untuk mendapatkan keadilan. Segala bukti yang ada akan dan bolh di bawa oleh pihak pendakwa atau pun pihak yang di dakwa. Hingga kini ada kes di mahkamah yang di menangi oleh pendakwa dan ada kes yang di menangi oleh yang kena dakwa.

Lagi sekali kematangan Anwar di uji dari segi tindakannya. Dari segi politik beliau berada dalam keadaan yang agak selesa selepas PRU12 baru-baru ini. Sebarang kesilapan dari segi perhitungan dalam saat yang kritikal sebegini akan menyebabkan kerugian kepada pihak pembangkang yang di pimpinnya masakini.

Dalam keadaan sekarang, ketika negara sedang dalam keadaan tidak menentu akibat dari kenaikan harga petrol, inflasi, keadaan politik yang lemah dari segi kepimpinan, Malaysia tidak lagi memerlukan satu lagi ketegangan sosial di kalangan rakyat. Pemimpin politik samada pemerintah atau pembangkang harus mengambil iktibar kejadian dan kemusnahan di negara lain berlaku akibat ketegangan di kalangan rakyat. Jelas kematangan pemimpin politik di uji lagi....

Terbaru...
Malaysiakini melapurkan bahawa Anwar telah keluar dari kedutaan Turkey jam 6.45 ptg tadi....

Sanusi Junid....

Semalam semasa di Kedah, berkesempatan ke Holiday Villa di Alor Star, untuk mendengar Tan Sri Sanusi Junid menyampaikan ucapan. Keseluruhan ucapannya adalah berfokus kepada nasib bangsa melayu di bumi ini. Soal penggantian kepimpinan di Malaysia juga di sentuh. Semua presiden UMNO dan Perdana Menteri (kecuali Tun Abdul Razak, yang meninggal masa dalam bertugas) telah menyerahkan kepimpinan negara bilamana mereka mendapati mereka tidak lagi di terima atau dalam kata lain ada tanda yang rakyat mahukan perubahan.Beliau mengemukakan contoh Tunku Abdul Rahman, Tun Hussain Onn dan Dr Mahathir yang meletak jawatan dan menyerahkan kepimpinan kepada orang nombor dua mereka bila sampai masanya.

Pak Lah bukan sahaja secara jelas di tolak oleh rakyat malah telah menyebabkan lima negeri telah jatuh ke tangan pembangkang. Pemimpin UMNO secara terang-terangan menyeru supaya beliau meletak jawatan. Dan dalam proses itu beliau telah secara sistematik mengenepikan Tun Mahathir dengan cara yang cukup menghinakan. Lebih dari itu Pak Lah masih lagi dengan pendiriannya untuk terus mempertahankan jawatannya.

Beliau menjelaskan bahawa beliau keluar dari UMNO supaya beliau dapat memberi penerangan tanpa terikat dengan segala tomahan. Dengan mengambil contoh bagaimana Tun Mahathir yang begitu berjasa kepada negara ini pun boleh di layan sebegitu oleh PM sekarang, segala budi dan jasanya langsung tidak di kenang, apatah lagi ahli UMNO biasa? Jadi, ahli UMNO biasa perlu menggunakan hak mereka dalam pemilihan UMNO pada tahun ini untuk menentukan berlakunya perubahan dalam kepimpinan UMNO pada tahun ini.

Wednesday, June 25, 2008

harga minyak BN 129, pembangkang 78.....

Jelas 129 MP Barisan Nasional bersepakat dan bersetuju dengan kenaikan harga minyak yang di buat oleh pihak kerajaan baru-baru ini. Setelah di kecam hebat dari pelbagai sudut kerajaan membuat keputusan untuk membuat usul di parlimen. Dalam kata lain Pak Lah tak mahu menanggung sendiri keputusan kenaikan harga minyak tetapi beliau mahukan semua wakil BN mengundi dan bersetuju dengan usul kenaikan tersebut. 11 MP BN tidak hadir termasuk dua wakil SAPP dari komponen BN tidak hadir.

Manakala pihak pembangkang pula 78 orang MP menentang dengan 4 orang tidak hadir. Sebagai rekod jelas pihak pembangkang menentang kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Pelbagai kabar yang kita dengar, ada yang mengatakan undian menyokong dari MP BN di buat dengan 'keadaan terpaksa'. Apa pun alasan yang diberikan jelas pendirian mereka adalah menyokong kenaikan harga minyak. Adalah menjadi tugas mereka untuk menjelaskan kepada rakyat di kawasan masing-masing mengapa mereka berpendirian sedemikian. Sekali lagi kebijaksanaan MP BN di uji dengan peraturan parti.

Setakat ini, Pak Lah berjaya mengatasi kemungkinan undi tidak percaya kepada beliau. Jika usul kenaikan harga minyak di parlimen di tolak sudah tentu ianya boleh ditafsir sebagai satu undi tidak percaya kepada PM. Kemungkinan pola pengundian saperti ini berlaku lagi di masa depan adalah tidak mustahil. 11 MP BN yang tidak hadir dalam pengundian baru-baru ini adalah jelas yang mereka ini terdiri dari kelompok yang sering bersuara lantang mengenai perubahan dalam UMNO dan BN. Mungkinkah ada hari esok yang akan menentukan Pak Lah tumbang di parlimen.???.......

Monday, June 23, 2008

mesyuarat tergempar rakan-rakan PM...

Semalam saya menghadiri kenduri perkahwinan anak rakan saya di Dewan Sri Endon di Putrajaya. Di meja kami terdapat sato Dato dan dua orang muda awal tiga puluhan. Sedang makan, tiba-tiba Dato dan juga salah seorang pemuda yang di depan kami mendapat panggilan. ketika itu jam lebih kurang pukul sembilan lebih. Dari perbualan dengan rakannya jelas mereka terpaksa bergegas ke rumah Perdana Menteri di Putrajaya. Beliau bercakap melalui talipon dan yang jelas secara tak langsung ingin memberi tahu saya dan rakan saya bahawa mereka orang penting dan perlu ke rumah PM malam semalam. Begitu juga Dato yang di sebelah saya memaklumkan kepada saya beliau terpaksa ke rumah PM kerana mesyuarat penting pasal kedudukan Pak Lah di Parlimen esoknya. Masha Allah ada juga orang macam ini di Malaysia sekarang ini.

Cerita benar, beginilah agaknya perangai penasihat-penasihat PM masa kini. Dah lah datang kenduri dengan baju di luar, lewat dan terus bercakap talipon di meja, dalam majlis begitu tanpa segan silu dan yang penting supaya orang tahu mereka terpaksa ke rumah PM.. Tak tahulah setakatmana benarnya tetapi yang sah semalam memang ada perjumpaan di rumah PM bersabit dari tindakan SAPP.

Hebat juga Dato Yong Teck Lee kerana sidang akhbarnya, segala kroni dan rakan-rakan Pak Lah jadi kelam kabut hingga terpaksa mengadakan mesyuarat tergempar.

Friday, June 20, 2008

baru padan muka ....cerdik tak boleh di ajar

Sah, SAPP anggota BN akan mengemukakan undi tidak percaya terhadap PM kerajaan Barisan Nasional. Yang jelas Dato Yong Teck Lee faham segala undang-undang dan peraturan parlimen. Beliau pun peguam samalah dengan Nazri yang ingin mengajar SAPP fasal peraturan parlimen. Lebih memalukan bila melihat pemimpin UMNO bertindak balas dengan kenyataan keanak-anakan saperti Ali Rustam, Nazri, Shahidan dll. Semuanya mahu memecat SAPP dari BN. Sedarkah mereka punca kekalahan PRU12 dulu orang China di semenanjung berkalih parti. Cuma orang China di Sabah yang menyokong BN..

Yang jelas SAPP menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pak Lah selaku pengerusi BN dan PM Malaysia. Sebelum ini rakyat melalui PRU 12 telah memberi amaran yang jelas dan menolak kepimpinan Pak Lah. Tidak banyak bezanya sebelum ini dengan masa kini di seluruh Malaysia, banyak ahli UMNO yang telah hilang keyakinan terhadap Pak Lah dan PM. Lebih dari itu, mereka telah meminta beliau berhenti dan menyerahkan kuasa kepada penggantinya. Terdapat pemimpin di peringkat negeri, bahagian dan cawangan terus menerus mahukan Pak Lah meninggalkan jawatan presiden dan PM Malaysia. Yang jelas bukan perkara baru, bukan perkara pelik, majoriti rakyat mahukan PM berhenti dari menjadi pemimpin kerajaan Malaysia.

Cuma yang berbeza kali ini, ketua parti komponen BN yang menyatakan perkara yang sama. Lebih dari itu ianya mahu dilaksanakan melalui saluran parlimen melalui usul oleh MP dari parti komponen yang mewakili rakyat. Mereka mahu menyatakan mereka telah hilang kepercayaan kepada ketua parti mereka. Tidak ada banyak bezanya. Cuma kali ini parti SAPP yang mewakili orang China di Sabah yang terpaksa menunjukkan bagaimana caranya untuk menyatakan perasaan hilang kepercayaan mereka kepada ketua parti BN.

Ahli MKT, pemimpin UMNO patut mengambil iktibar dari peristiwa ini. Ada banyak pengajaran yang boleh di ambil. Memang padan dengan muka pemimpin UMNO, peristiwa ini menggambarkan satu pengajaran kepada mereka bagaimana menyatakan sokongan, bagaimana menyokong dan memilih pemimpin ketika negara dalam krisis. Yang sedih, pemimpin China macam ini saja yang boleh mengajar pemimpin UMNO. Orang melayu, ahli UMNO, riuh satu Malaysia mahukan Pak Lah berhenti tapi bagai menuang air di daun keladi. Semua ahli MKT hanya mahu mengampu bodek. Tapi bila Datuk Yong Teck Lee buat gempar, satu Malaysia, semua pemimpin UMNO terkejut biawak! semua berkejar ke Sabah, semua macam kena histeria! Pasal apa??? Selama ini mereka dalam sindrom penafian. Pemimpin melayu UMNO tidak lagi menghormati pendapat dan pandangan orang melayu, orang UMNO. Jadi kena lah agaknya orang China yang mengajar mereka ini! Memang betul pun, secara sepontan semua mereka bertindak balas...

Ini agaknya yang selalu di sebut oleh Pak Lah, kita ini mempunyai pemikiran kelas ketiga, cuma kali ini yang kena ialah atas batang hidung mereka, pemimpin UMNO.!!cerdik tapi tak boleh di ajar. !!!

Wednesday, June 18, 2008

Isnin 23 Jun 2008-Undi tidak percaya kepada PM

Difahamkan SAPP (2MP), PBS (3MP) dan UPKO (4MP) dari Sabah akan membuat kejutan samada keluar dari BN atau pun membuat usul undi tidak percaya pada PM. Difahamkan juga semua pembesar UMNO sedang berada di Kota Kinabalu pada masa kini..

Krisis kepimpinan kerajaan Malaysia kini berada di ambang yang cukup bahaya. Apakah orang-orang UMNO ingin melihat kerajaan BN dan UMNO hari ini tumbang dengan cara ini.? Apa yang akan berlaku adalah manifestasi ketidakpuasan hati rakyat dan juga rakan kongsi BN terhadap kepimpinan seorang PM yang secara kebetulan dari UMNO. Apakah kita masih lagi dalam keadaan menafikan ketidakpuasaan hati rakyat terhadap kepimpinan ini.?

Yang penting, persoalan ini boleh diselesaikan dengan mudah, hanya di peringkat UMNO. Jika pihak ahli MKT UMNO boleh membuat keputusan yang tegas dan menetapkan tarikh pengunduran Presiden dan proses penggantian kepimpinan diperjelaskan secara jelas, krisis saperti ini tidak akan berlaku. Jika UMNO memilih untuk mengikut kata Presiden dan PM masa kini, kita tidak akan terkejut UMNO akan tumbang lebih awal dari PRU13. Pak Lah blah lah segera sebelum lebih banyak musibah yang akan menimpa orang melayu di bumi ini!

Tuesday, June 17, 2008

bila tarikhnya?.....

Hampir dua minggu telah berlalu. Harga minyak hanya akan menjadi satu sejarah dan tidak mungkin akan kembali turun. Pengumuman demi pengumuman mengenai subsidi dan lain-lain dasar di buat oleh kerajaan yang semakin bercelaru. yang jelas pembayaran balik di pejabat Pos hanya untuk sekali selama setahun ini sahaja. Mulai tahun hadapan penderitaan akibat harga minyak ini bakal di tanggung oleh rakyat selamanya.....Kenaikan lain perkhidmatan dan barangan akibat dari kenaikan harga minyak ini baru bermula dan saya yakin ianya akan semakin ganas hari demi hari.. Kepada rakyat terbanyak kemana badan hendak di bawa????

Dalam sebulan yang lalu, pengumuman demi pengumuman di buat oleh Pak Lah mengenai isu peralihan kuasa kepada timbalannya. Yang jelas beliau akan terus mempertahankan kerusi Presiden UMNO dan akan kekal dengan jawatan Perdana Menteri Malaysia. PM tidak memberi banyak pilihan kepada ahli UMNO dan juga rakyat.

Persoalan kepimpinan negara, pembentukan dasar ekonomi, pengurusan keawangan negara dan pembentukan negara bangsa di Malaysia memerlukan kepimpinan baru dari sgei imej, perwatakan, pendekatan polisi dan pengurusan negara amnya. Yang demikian tidak ada yang lebih kurang, hanya dengan pengunduran diri PM yang ada sekarang baru negara ini boleh memberi sedikit harapan kepada rakyat bagi menghadapi zaman yang penuh dengan kegelapan ini.. Samalah kita berdoa moga PM yang ada sekarang terbuka hatinya untuk berambus dalam masa yang terdekat ini!!! Bila tariknya??

Saturday, June 7, 2008

Keluhan hati rakyat......

Dari Blog Dato ahmadatalib.blogspot.com

* kerajaan kita tak berhati perut!
* tak boleh buat beransur-ansur kah?
* saya pakai kereta Perodua Kancil. Kenaikkan ini menjejaskan hidup saya
* kalau macam ni, macam mana nak pergi cuti dan jalan-jalan cari makan
* What! They think we are millionaires ah!
* I regret voting the Barisan Nasional and put them back into power
* Is this how they return our faith and trust?
* BN menang pilihanraya, rakyat menderita
* Memang betullah orang kata BN tu maknya Barang Naik!
* Kalau ya pun nak naikkan harga, takkan tak boleh buat berperingkat
* Dahlah naikkan harga minyak, RTM pula cuba nak bagi hati kita sedap tetapi mereka tak ikhlas
* Tak boleh pakailah dia ni!
* Kita kena ajar BN di pemilihan akan datang
* Menteri memang mudah cakap, tetapi kita rakyat biasa yang bisa
* Dengan cara macam ni BN harap nak kembali berkuasa di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor? Pergi jalan dah!
* Kerajaan dah bayangkan nak naik harga, tetapi tak sangka sampai begini!
* Apa dah jadi?

Mungkin apa yang disebut di atas adalah cetusan rasa hati yang tinggal di bandar, yang makan gaji, yang berniaga dan mampu memiliki kereta.

Di kampung, petani, nelayan, penoreh, pesawah yang pendapatannya hanya bermusim lagi teruk. Yang jelas setiap kali kenaikan harga kerajaan akan mengumumkan subsidi atau kawalan kepada barang perlu keperluan majoriti penduduk luar bandar. Kepada orang kampung persoalan asas berikut menjadi perkara yang cukup penting;

- beras, gula, minyak, tepung, ikan, ayam, sayuran.....
- tambang bas, teksi, minyak motosikal....
- pakaian, kain baju, keperluan anak-anak...
- peralatan mencari makan- baja, racun,jaring.......
- kos upah di sawah....
- lain-lain kos untuk kualiti hidup..

Kegagalan menyelesaikan persoalan subsidi kepada kumpulan sasar yang tepat akan menyebabkan malapetaka kepada majoriti rakyat. Kesluruhan kualiti hidup majoriti rakyat sedang menurun. Kepada majoriti rakyat kemunculan zaman meleset semakin hampir. Moga masa depan yang semakin negatif dapat menjadi lebih positif kepada sebahagian majoriti rakyat di kampung.

Friday, June 6, 2008

Hadiah Pak Lah Kepada Rakyat Malaysia........



Sejak 2004, Perdana Menteri Bodohwi telah menaikkan harga minyak sebanyak 7 kali. Kenaikkan untuk petrol hampir-hampir 100% dan Diesel melebehi 200%. Satu rekod pencapaian yang amat hebat kepada Perdana Menteri yang kononnya mahu membatalkan projek mewah dan akan memberi tumpuan kepada penduduk miskin di luar bandar.

Hari ini, mereka, Ahli MKT UMNO sedang merangka satu pelan untuk menarik rakyat khususnya ahli UMNO kembali menyokong UMNO dan BN. Sudah tentu ahli UMNO akan di anggap bodoh dan rakyat di anggap tidak boleh berfikir dan kita tidak akan terkejut akan banyak cadangan-cadangan khususnya ahli MKT kaki ampu bodek yang merumuskan segala tindakan PM adalah wajar dan betul belaka.

Apa pun pelan tindakan yang mungkin di ambil sudah agak terlewat. Kesan kenaikkan minyak menghilangkan langsung sedikit harapan yang masih ada kepada kerajaan pimpinan PM ini. Yang jelas, keyakinan rakyat hilang langsung. Kepada majoriti ahli UMNO tidak ada kompromi yang boleh di buat hanya dengan pengunduran/penyingkaran Abdullah Badawi sahaja yang mungkin mengubah pendirian mereka. Kurang dari itu, jelas akan berlaku tsunami kedua dalam perhimpunan Agung UMNO dan PRU13 nanti

Monday, June 2, 2008

Ahli MKT UMNO - pow-wow

52 orang ahli MKT UMNO akan berkumpul pada hari (Khamis dan Jumaat) 5&6 Jun 2008 ini di Shah Alam bagi membincangkan segala masaalah dan mungkin merangka strategi bagi masa depan UMNO.

Hampir tiga bulan baru ada usaha untuk membincangkan soal kekalahan dalam PRU12 yang lalu. Dalam PRU12 kita kehilangan Kedah, perak, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan juga Wilayah Persekutuan. Lebih buruk lagi terdapat kemerosotan sokongan di negeri Johor, Negeri Sembilan dan juga Pahang.

Rakan kongsi UMNO dalam BN, telah membuat pelbagai analisa dan post-mortem serta telah memulakan proses 'rebranding'dan 'reinvent' parti masing-masing. UMNO masih berkelakuan saperti parti yang baru menang besar dalam pilihanraya. Parti-parti lain telah jelas hala tuju masing-masing. Sementara itu parti pembangkang yang telah membentuk kerajaan juga terus mengorak langkah memperlihatkan kematangan dalam bertindak serta dengan mutu kepimpinan yang semakin kemas.

Tiga bulan yang lalu, apa yang kita dengar ialah ialah sindrom penafian dari pemimpin atasan UMNO terutama Presidennya. Keadaan bertambah buruk dengan budaya bisu dan sikap 'yes men'dalam barisan ahli MKT. Presiden UMNO dengan bongkak mendabik dada bahawa UMNO masih di sokong dan masih di beri kepercayaan untuk memerintah. Sementara ahli MKT dan pemimpin UMNO masih dengan budaya ampu bodek dengan menjilat lengan lebih dari zaman feudal.

Segala rintihan, teguran dan pendapat akar umbi supaya pembaharuan kepimpinan di buat bagai mencurah air di daun keladi.Pemimpin atasan UMNO khususnya ahli MKT sudah lupa bahawa mereka di pilih supaya menjaga kepentingan bangsa, agama dan negara. sebaliknya mereka lebih memetingkan kedudukan dan periok nasi mereka dari berkata benar dan menjaga amanah bangsa. Akibatnya, walaupun telah kehilangan kuasa di beberapa negeri, kehilangan kuasa perundingan dengan kaum lain tetapi kerana kepentingan jawatan dan kepentingan diri, segala perilaku presiden di terima dan di sokong sepenuhnya.

Berdasarkan perkembangan masa kini, tidak banyak yang dapat diharapkan dari 'retreat' pemimpin UMNO di Shah Akam ini. Cuma kita harap akan ada pemimpin yang berani berkata benar. Maruah mereka ini akan terus tercalar di mata ahli UMNO kiranya tiada ada pelan yang jelas selepas ini khususnya mengenai halatuju kepimpinan dan parti UMNO untuk masa depan.......

Friday, May 30, 2008

Tan Sri Sanusi Junid....

Terbaru, mengikut Dato Ron dalam blog kuda kepang, terdapat berita bahawa perkhidmatan Tan Sri Sanusi Junid, Presiden Universiti Islam Antarabangsa yang Ke Empat yang telah berkhidmat sejak 1 March 2000 akan ditamatkan perkhidmatannya..

Sepanjang tempoh perkhidmatannya di UIA, beliau telah dapat mencabut banyak duri dalam daging di UIA... Benih-benih reformasi baik di kalangan pensyarah, kakitangan dan pelajar telah dijinakkan oleh beliau. Sekadar menyebut beberapa nama saperti Prof Syed Naquib, beberapa orang kuat DSAI juga telah meninggalkan universiti. UIA, kini aman damai, bertuah dan senanglah Presiden yang baru nanti melaksanakan tugasnya.

Tan Sri Sanusi boleh keluar dari UIA dengan penuh kehormatan. Lebih dari itu beliau boleh berjalan tegak, tanpa rasa bersalah atas jasa dan kerja buat beliau di UIA.

Datuk Sanusi baru-baru ini telah keluar dari UMNO. Beliau adalah ahli UMNO yang menggunakan nombor siri ahli 000000007..

Berita lanjut sila lihat;
kudakepang#links

Sama-sama kita lihat nanti.. siapa terpaksa berjalan tunduk atas kerja buat beliau masa di beri peluang memerintah Malaysia tetapi meninggalkan parti yang lemah, kerajaan yang lemah dan rakyat yang susah.....

Lagi kisah Tan Sri Mahyuddin...

Pemimpin ampu bodek UMNO terus mendapat perhatian menghiasi dada akhbar menyeru supaya tindakan disiplin di ambil terhadap YB Datuk Tajuddin, MP Pasir Salak dan YB Datuk Mukhriz, MP Jerlun atas alasan mengkritik beliau dan PM. Di samping itu media juga memberi liputan yang luas terhadap kemasukan Ezam, bekas ketua pemuda PKR dan orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apatah kagi Perdana Menteri sendiri menerima borang kemasukannya. .

Di sebalik keghairahan tersebut Tan Sri Mahyuddin (TMY) memberi komen ringkas, keputusan menerima kemasukkan Ezam adalah di bawah bidang kuasa MT UMNO. Dalam kata lain Presiden tidak boleh membuat keputusan sendiri dalam hal saperti ini....

Setakat ini jelas, TMY mempunyai pandangan dan pendirian tersendiri dan jauh berbeza dari majoriti pemimpin tertinggi UMNO masa kini. Sama-sama kita lihat bagaimana majoriti ahli UMNO melihat permasaalahan pembaharuan dalam UMNO di urus.....

Sunday, May 25, 2008

Tan Sri Mahyuddin Yassin

Sekali lagi Tan Sri Mahyuddin Yassin (TSM) menyatakan pendiriannya mengenai kepimpinan UMNO masa kini. Jelas, TSM memberi isyarat kepada semua ahli-ahli UMNO bahawa telah sampai masanya kepimpinan UMNO di tukar dan lebih dari itu beliau juga telah bersedia memulakan langah. Beliau menyebut secara jelas bahawa Pak Lah tidak akan dapat mengurus krisis yang ada dan ia perlu berundur. Beliau juga menyeru supaya ahli UMNO menerima hakikat dan tidak lagi berada dalam sindrom penafian tentang kekuatan UMNO.

Beliau berkata demikian dalam satu ceramah mengenai etika anjuran UMNO Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Implikasi dari pandangan di atas, jelas, ahli UMNO harus menerima realiti bahawa Presidennya perlu 'mengundur diri' dan jika perlu 'di ganti'. Jika di teliti adalah jelas TSM amat bersedia terus ke jawatan Presiden jika Timbalan yang ada sekarang masih lagi berdolak-dalik. Melihat perkembangan terbaru, jelas, Dato seri Najib juga telah memulakan langkahnya yang penuh sopan tetapi membawa maksud yang hampir sama. Nah, sekarang kepadasemua ahli-ahli UMNO, tepuk dada tanya selera. Gendang telah berbunyi, di mana panglimanya........

Friday, May 23, 2008

Persekutuan Tanah Melayu... tinggal kenangan


Semalam, saya menyentuh tentang kemungkinan Batu Putih jatuh ke tangan Singapura. Rasa kurang enak itu telah kita dengar semasa pembentangan kes ini di ICJ. Sesaorang harus mengambil tanggungjawab mengenai kesilapan ini..

Sah, Pulau Batu Putih di bawah penguasaan Singapura. Apa pun alasan, yang jelas Malaysia gagal dalam pembentangan di ICJ tempoh hari. Menteri Luar ketika itu, Dato Syed Hamid Albar dan pasukannya patut mengambil tanggungjawab moral menegenai keputusan ini. Lebih dari itu Perdana Menteri yang bertanggungjawab sepenuh tentang kepentingan negara juga harus mengambil tanggungjawab.

Persekutuan Tanah Melayu, begitulah nama negara ini seketika dulu. Cadangan jambatan yang nak di bina dalam negara sendiri pun dibatalkan. Kini, Batu Putih pula bertukar nama menjadi Pedra Blanca.

Dalam masa terdekat, sebahagian lagi kawasan selatan negeri Johor akan kehilangan identitinya. Di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) unsur-unsur kedaulatan negara kita kian di hakis. Bukan sahaja syarikat dari Singapura, malah syarikat dari USA yang katanya terlibat dalam peperangan dan pembunuhan rakyat di Iraq di jemput dengan permaidani merah.

Lebih memedihkan bukan sebab negara kita di tawan atau di jajah tetapi ianya berlaku kerana di jemput dan di sambut dengan segala senang hati. Lebih teruk lagi segala polisi di situ tidak lagi mengambilkira DEB. Lebih memalukan ianya di buat dengan kehendak kerajaan masa kini atas nasihat dari penasihat tidak resmi Perdana Menteri Malaysia masakini.

Soal penjagaan kepentingan negara dan kedaulatan negara adalah antara sumpah Perdana Menteri terhadap rakyat Malaysia. Nasi sudah menjadi bubur. Sekarang kita membuka lagi WPI di Johor untuk Singapura mengembangkan kawasan pembangunan ekonominya. Rakyat mendengar pelbagai cerita mengenai bagaimana hubungan Malaysia dengan Singapura samada dari segi politik, ekonomi dan sosial dikendalikan oleh pemimipin politik masakini. Yang jelas, kedudukan kita dalam perundingan dengan Singapura kian lemah hari demi hari... ini mengundang padah kepada generasi akan datang..

Persekutuan Tanah Melayu hanya tinggal nama... Kalau ada pun hanyalah Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Askar Melayu Di Raja......

Thursday, May 22, 2008

Pulau Batu Putih.....


Esok, 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Haque, akan menyampaikan keputusan kes berkenaan. Beberapa minggu yang lepas pemikiran rakyat Malaysia telah dipersiapkan bagi menerima apa saja keputusan mahlamah berkenaan. RTM tidak henti-henti memuatkan berita bagi mengurangkan kesan kemarahan rakyat kiranya Pulau Batu Putih jatuh ke tangan Singapura.

Sama-samalah kita berdoa moga keputusan nanti akan berpihak kepada Malaysia. Jika keputusan berlaku sebaliknya, sudah tentu ianya berpunca dari kelemahan semasa pembentangan kes tempoh hari. Elok kalau dapat kita baca dari blog Rocky'bru di bawah

rocky's bru: If we lose, you know why ...

Musa Hitam dan Shahril Samad..

Duri dalam daging, begitu lah komen Musa Hitam terhadap Tun Mahathir! Di sokong pula anak didiknya Shahril Samad.

Kedua penama di atas adalah orang kuat PM masa kini.. Secara berterusan menyimpan dendam kesumat terhadap Tun Mahathir. Jelas dalam rekod sejarah politik Malaysia, setiap kali mereka ini merajuk, meletak jawatan, keluar UMNO, bertanding bebas dengan segala maki hamun terhadap Tun Mahathir, akhirnya Tun Mahathir yang memberi nafas baru kepada mereka berdua. Shahril di terima balik masuk UMNO adalah dengan persetujuan Tun Mahathir. Musa Hitam, di lantik dengan pelbagai jawatan atas kehendak dan persetujuan Tun Mahathir!

Kita lihat siapa perosak dan pengkhianat terhadap orang melayu dan UMNO.

Wednesday, May 21, 2008

Mokhzani keluar UMNO...

Sah Datuk Mokhzani ahli UMNO bahagian Merbok telah meninggalkan UMNO. Alasan yang sama, kerana kepimpinan UMNO sekarang. Mokhzani pernah menjadi ahli exco pemuda umno dan bendahari UMNO Kedah. Beliau seangkatan dengan Hishamuddin.

Sejarah beliau bertanding sebagai perwakilan UMNO Merbok beliau tak pernah kalah (bukan macam KJ) dan sentiasa mendapat tempat pertama. Banyak lagi pengikutnya dalam Bahagian UMNO Merbok. Banyak lagi kawan-kawan beliau dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Sindrom penafian masih menyelubungi kepimpinan UMNO Malaysia.

Monday, May 19, 2008

Tun Mahathir meninggalkan UMNO


Petang tadi Tun Dr. Mahathir mengistiharkan keluar dari UMNO. Beliau melahirkan kekecewaannya terhadap UMNO yang di pimpin oleh Oleh Abdullah Badawi yang bukan lagi memperjuangkan UMNO.. Beliau juga menyeru ahli UMNO keluar dari UMNO tetapi beliau juga turut menasihatkan mereka supaya tidak menjadi ahli parti yang lain

Sesungguhnya UMNO, ahli-ahli UMNO berada di persimpangan jalan. Kedegilan Pak Lah mengundur diri, akan mengakibatkan UMNO akan kehilangan kuasa dan UMNO akan semakin lemah. Ahli UMNO di merata negeri, yang sedang membangkitkan soal penggantian kepimpinan UMNO, adalah ahli yang masih sayangkan UMNO. Sikap pemimpin UMNO dari Presiden hinggalah kepada ahli MT, sangat mengecewakan majoriti ahli. Sehingga kini tidak nampak satu usaha pun yang dilakukan bagi menunjukkan kesungguhan pemimpin UMNO bagi mencari penyelesaian mengenai krisis kepimpinan dan kehilangan kepercayaan ahli terhadap UMNO.

Apa yang berlaku, walaupun BN dan UMNO masih lagi memerintah adalah jelas, kepimpinan UMNO yang amat lemah, kerajaan dibiarkan di tekan oleh pelbagai pihak, hinggakan kepentingan orang melayu, kerajaan dan rakyat kian terabai. Lebih memburukkan keadaan kita makin terdedah kepada segala macam tekanan daripada luar khususnya negara jiran. Polisi kerajaan yang kelamkabut, harga barang yang kian meniingkat, keselamatan yang tidak terjamin, maruah orang melayu yang makin tercalar dibiarkan oleh Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang lemah ini..

Sudah tentu langkah Tun Mahathir satu langkah yang amat drastik. Kekecewaan Tun akan di kongsi bersama oleh majoriti ahli UMNO di seluruh Malaysia. Ahli-ahli UMNO, khususnya pemimpin UMNO perlu disedarkan dengan tindakan yang drastik. Yang demikian saya fikir, lebih banyak lagi tindakan susulan dari ahli akan berlaku. Nasi sudah hampir menjadi bubur.. Pak Lah masih mahu bergayut sebagai presiden UMNO. Ahli MT UMNO masih mahu menjadi pak turut, memeluk tubuh tanpa mahu membuat tindakan.
Akhirnya kepada kamu semua wahai ahli Majlis Tertinggi, kamu akan dipertanggungjawabkan jika UMNO kehilangan kuasa, melayu akan kehilangan di bumi ini buat selamanya...

Thursday, May 15, 2008

murtad...

Hampir seminggu berita mengenai Siti Fatimah Tan Abdullah yang memeluk dan beragama Islam telah dibenarkan oleh mahkamah untuk kembali ke agama asalnya. Mahkamah Tinggi Syariah Penang telah membuat keputusan tersebut pada 8 Mei 2008 yang lalu..

Dari segi hukum syarak, hukuman terhadap orang-orang yang murtad adalah jelas dari segi agama Islam. Saya kurang arif tentang alasan yang digunakan bagi membenarkan permohonan ini. Lebih dari itu kes ini akan menjadi 'precedent' dalam kes-kes yang akan datang dalam Mahkamah Syariah.

Dalam konteks ini, sebelum masaalah ini menjadi satu lagi time bomb dalam masyarakat Islam, pihak kerajaan perlu mengambil langkah tegas untuk memperkemaskan segala bentuk kelemahan samada dari segi perundangan mahupun peranan Jabatan Agama Islam itu sendiri. Tersilap langkah isu ini boleh menimbulkan bencana dan dosa yang amat besar kepada umat Islam keseluruhannya...

Wednesday, May 14, 2008

39 tahun yang lalu....13 Mei 1969

Hari ini, Rabu, 14 Mei 2008 semua rakyat Malaysia tertunggu-tungu untuk mengetahui pengumuman PKR tentang ura-ura beberapa MP BN akan menyertai PKR.. Kabarnya berbelas orang MP akan menyertai PKR. Hingga waktu ini belum ada apa-apa berita lagi...

39 tahun yang lalu, peristiwa 13 Mei 1969, tinggal dalam kenangan. Ketika itu pertumpahan darah di antara rakyat Malaysia berlaku di Kuala Lumpur. Peristiwa berkenaan berlaku di sekitar kawasan Kg Baru dan Chow Kit dan merebak kebeberapa kawasan lain. Perintah berkurung telah dilaksanakan bukan sahaja di Kuala Lumpur , malah di beberapa negeri lain. Darurat telah disitiharkan dan Parlimen telah di gantung. Mageran diujudkan bagi memerintah negara pada ketika itu... Sebenarnya banyak lagi cerita, dasar, polisi yang terhasil dari peristiwa ini..

Dalam keghairahan parti politik merebut kekuasaan, dalam kerakusan pemimpin politik merebut kuasa, dalam keghairahan politikus memperjuangkan nasib bangsa, jangan kita lupa kedamaian, kesetabilan negara, kesejahteraan rakyat patut menjadi matlamat utama dan semestinya mengatasi kepentingan peribadi, kelompok, parti, kaum dan agama...

Sunday, May 11, 2008

harga beras terus meningkat..

Kami tidak terkata dan tidak punyai penjelasan bila menteri dalam negeri di rumah bertanya kenapa harga beras super 10kg yang selalu dia beli dengan harga RM22,00 kini berharga RM32.00. Dalam dua tiga minggu lepas harganya RM22.00. Huh apa kerja KHEDN? Di mana silapnya? Apa yang di buat Bernas dan Pengilang dan pemborong beras sehinggakan kenaikan mendadak sehingga RM10.00?

Bersembang dengan kawan-kawan di kampung, rata-rata mengeluh dan telah menunjukkkan yang mereka sangat keliru dan tidak berminat lagi untuk mengerjakan tanah sawah yang langsung tidak lagi memberikan pulangan yang setimpal. Harga jualan padi tetap saperti dulu sedangkan harga beras terus meningkat. Bukan mengharapkan keuntungan malah upah kerja pun tidak memadai.. Mereka memberi contoh untuk satu relung sawah, sewa RM 250, Upah bajak hingga boleh tanam RM 200, Upah tanam termasuk anak semaian RM 270.00, Racun RM15.00, Upah tabur baja RM25.00 (baja Persatuan Peladang), Upah mesin padi dan pengangkutan jualan RM RM 110.00 dan kosnya berjumlah RM 870.00. Hasilnya untuk satu relong antara RM1200.00 hingga RM1500.00. Dengan demikian pendapatan mereka hanya antara RM330 hingga RM630. Bayangkan mereka mengerjakan sawah ini dalam tempoh enam bulan dan dengan demikian pendapatan purata mereka hanya antara RM50 hingga RM 100 sebulan... Kemana badan hendak di bawa....

Kita khuatir kenaikan harga barang khususnya beras adalah rekaan pihak yang tidak bertanggungjawab. Bernas yang mendapat hak monopoli mengimpot beras harus bertanggungjawab. Lebih mudah kerajaan patut membenarkan lebih banyak pengimpot supaya bekalan bertamabah dan terdapat persaingan yang mendatangkan faedah kepada pengguna.

Sementara itu, insentif kepada petani harus juga di lihat secara total supaya tanah-tanah yang ada, diteruskan penanamannya dan petani mendapat pulangan yang setimpal. Bentuk bantuan dari segi pengurangan kos pengeluaran dan penurunan kos input pertanian amat mustahak dilaksanakan. Lebih dari itu harga padi juga harus dipertimbangkan agar setimpal dengan harga beras yang sedang meningkat.

Golongan petani di kampung saperti di ataslah yang sepatutnya mendapat subsidi secara langsung. Jika ini dapat dilakukan, rakyat yang berada dalam kawasan kemiskinan, akan mendapat faedah dan dengan demikian kadar kemiskinan dapat dikurangkan...

Saturday, May 10, 2008

lagi ganjaran kepada anggota perkhidmatan awam

Berlatarbelakangkan harga minyak yang kian meningkat dan krisis dalam kekurangan bekalan makanan di seluruh dunia, PM memberikan ucap utama kepada sambutan hari pekerja anjuran
CUEPACS.

Kerajaan telah bersetuju memenuhi beberapa tuntutan pekerja, antara lain...
i) Lanjutan umur persaraan kepada 58 tahun
ii) Penilaian PTK - akan ditambahbaik tanpa pemansuhan
iii) Pencen - Pencen terbitan soal penyusutan kadar pencen dimansuhkan. Faktor pengiraan pencen di kira sehingga 30 tahun

Melihat prestasi perkhidmatan awam di Malaysia, saya kurang pasti apakah mereka ini layak menerima habuan ketika majoriti rakyat sedang di landa pelbagai masaalah.

Prestasi burok dengan sistem penyampaian yang lemah, tidak pernah membantu kita dalam menilai prestasi mereka. Terlalu banyak contoh boleh diketengahkan, rakyat tak pernah merasa selamat di dalam dan luar rumah, penguatkusaan undang-undang yang amat lemah, kebanjiran pendatang haram yang tak terkawal, pengurusan keadilan yang tertunggak di pelbagai mahkamah, permohonan rakyat yang tidak di proses bertahun-tahun, pengajaran di sekolah yang tidak berkesan, masaalah belia yang berterusan tanpa penyelesaian, pembaziran sumber di pelbagai jabatan kerajaan, kelambatan bertindak terhadap aduan rakyat dan lain-lain lagi yang boleh kita senaraikan berjela-jela di sini.

Perkhidmatan awam yang tidak cekap di sebalik jumlah anggota yang terlalu ramai berbanding dengan jumlah penduduk adalah sesuatu yang lemah dan memalukan.. Pengswataan beberapa syarikat dan perkhidmatan kerajaan sepatutnya dapat mengurangkan jumlah anggota perkhidmatan awam di Malaysia. Malang, hingga kini jumlah anggota kian bertambah tahun demi tahun.

Kerajaan sepatutnya meneliti tahap prestasi anggotanya secara lebih terperinci. Ganjaran hanya di beri kepada yang mempunyai merit dan menunjukkan tahap produktiviti yang tinggi. Lebih dari itu perkhidmatan kepada rakyat mesti menjadi ukuran utama..

62 tahun.....

Esok, seluruh ahli UMNO di jemput ke PWTC buat sekian kalinya bagi menyambut ulang tahun ke 62. Aturcaranya, macam biasa, doa, nyanyi-nyanyi dan ucapan Presiden dan di akhiri dengan tahlil..

Selepas tsunami PRU 12 saya kira ini adalah kali kedua pemimpin dan ahli UMNO di panggil ke PWTC untuk mendengar amanat Presiden. Kabarnya, Presiden juga ada memanggil ketua-ketua cawangan dari negeri-negeri, juga untuk mendengar amanat Presiden.

Hari ini genap dua bulan BN dan UMNO merayakan "kemenangan" dalam PRU12 baru-baru ini. Kepada pemimpin UMNO, sudah cukup, pelbagai seruan dari ahli akar umbi supaya tindakan drastik di ambil bagi menentukan UMNO kekal relevan dalam politik Malaysia. Yang jelas, hingga kini, tiada satu pun bentuk bedah siasat di buat secara sistematik di semua peringkat. Cadangan mengadakan EGM bagi membincangkan isu ini juga di pandang sepi oleh pemimpin tertinggi UMNO. Lebih buruk lagi, secara halus pemimpin bahagian semacam di tekan supaya tidak membincangkan secara terbuka apatah lagi mengadakan EGM. Kesimpulannya, masaalah yang ada dalam UMNO, semuanya mahu di sapu ke bawah karpet.

Dua bulan telah berlalu, masa dari Mei hingga Disember ini amat krtikal dan penting. Penting kepada UMNO dan orang melayu. Kegagalan mengambil peduli kehendak akar umbi akan membawa padah. Dalam keadaan krisis saperti ini, kepentingan bangsa, ahli dan parti perlu mengatasi kepentingan peribadi dan kelompok dalam pemimpin atasan. .....Semua pemimpin di peringkat cawangan, bahagian harus secara serius melihat permasaalahan yang ada dan berani membuat tindakan yang boleh membawa perubahan...

Thursday, May 8, 2008

bom jangka .... antara Karpal dan RPK...

Kerajaan Pak Lah berada di persimpangan dan memerlukan keputusan yang amat kritikal. RPK telah di tuduh di bawah Akta Hasutan. Keengganan beliau untuk di jamin akan menarik perhatian dunia...

Apa bezanya Karpal Singh berbanding dengan RPK dari sudut akta hasutan. Sehingga kini jelas tiga perkara yang melibatkan Karpal Singh dengan kedudukan dan kuasa Sultan dan Raja-Raja. (1) Karpal dengan komennya mengenai kuasa kuasa Sultan Perak (2) Karpal dengan komennya terhadap Tengku Mahkota Kelantan (3) Karpal dengan komennya terhadap isu titah ucapan KDYMM Yang Di Pertuan Agong baru-baru ini.

Sementara itu, kepada orang awam persoalan pertanyaan, apa bezanya tindakan ahli-ahli UMNO di Terengganu mempersoalkan kuasa Sultan Terengganu dalam soal pemilihan Menteri Besar selepas PRU 12 baru-baru ini. Tidak ada bezanya perlakuan Karpal dengan perlakuan ahli UMNO di Terengganu baru-baru ini.

Kerajaan dan Peguam Negara mempunyai tugas yang cukup mencabar akibat dari tindakan awal mendakwa RPK di mahkamah di bawah Akta Hasutan. Yang jelas, pendakwaan terhadap kesalahan begini tidak harus memilih bulu. Prinsip tiada sesiapa pun boleh berada di atas undang-undang dan boleh terlepas dari tindakan perlu dipraktikkan.Jika ini pilihannya bermakna kes-kes yang melibatkan ahli UMNO juga perlu di beri perhatian oleh kerajaan.

Persoalannya, mampukah Pak Lah, PM yang tidak mendapat sokongan 2/3 di parlimen menyelesaikan isu ini?? Masih bolehkah PM berkeyakinan bahawa tidak akan ada tsunami kedua dalam jarak terdekat ini??? Jika berlaku penangkapan dan pertuduhan terhadap Karpal, bersediakah kerajaanPak Lah dengan impak pendapat umum ?Kebijaksanaan Pak Lah, PM akan di uji.. Kegagalan beliau menangani isu ini sebaik mungkin akan mengundang padah kepada kerajaan dan juga kepada UMNO..

Wednesday, May 7, 2008

Raja Petra Kamaruddin....


Raja Petra Kamaruddin enggan untuk membayar wang jaminan atas pertuduhan yang dikenakan kepadanya. Yang demikian beliau akan di tahan sehingga di jamin atau pun akan terus kekal dalam tahanan sehingga 6 Oktober ini iaitu hari perbicaraan kes tersebut. Beliau di tuduh di bawah Akta Hasutan berdasarkan tulisan beliau berjudul ''... send the Alantuya murderers to hell..." dalam laman web Malaysia Today.

Pendapat ramai sering kita dengar, kerajaan sering di desak, pembangkang sering memperjuangkan bahawa jika ada sebarang kesalahan maka rakyat perlu di tuduh di mahkamah. Dalam kes ini, jelas, kerajaan memilih untuk menuduh RPK di mahkamah terbuka. RPK di beri peluang untuk di jamin, tetapi beliau memilih sebaliknya.

Berita terbaru, difahamkan keluarga beliau melalui Malaysia Today telah berjaya mengumpulkan jumlah wang yang mencukupi dari orang ramai bagi menjamin beliau. Kita belum pasti samaada beliau akan memilih untuk terus kekal di penjara atau bersetuju untuk bebas dengan di ikat jamin. Apa pun pilihan yang di buat, kes ini akan menarik perhatian seluruh dunia

Yang jelas, kepada semua pembaca, apa yang di tulis, apa yang perkatakan sebelum ini hanya boleh di anggap sebagai kabar angin.. Sekarang ini, ianya telah dan akan menjadi kes yang dibicarakan di mahkamah terbuka. Bila dibicarakan, sudah tentulah pihak pendakwa perlu membuktikan dengan tanpa sebarang keraguan. Sebaliknya RPK selaku yang di tuduh juga akan di beri peluang untuk membela diri dan menimbulkan keraguan terhadap pertuduhan.

Kita yakin banyak pihak yang akan luka, tercalar nanti. Kerajaan, nampaknya terkena jerat RPK kali ini. Kita semua tahu sudah banyak kali beliau mencabar kerajaan menangkap dan membicarakannya, jika ada kesalahan yang dilakukan. Kebijaksanaan kerajaan Pak Lah menangani isu ini mungkin dapat dipersoalkan.

Kepada kumpulan yang berkepentingan, NGOs, pembangkang, peguam, ahli politik dll harus menerima pendirian kerajaan dan juga pendirian RPK secara terbuka. Dalam kata lain soal 'rule of law' yang selalu diperjuangkan oleh mereka ini, patut dibiarkan berfungsi tanpa desakan, komen yang tak di ingini dan mungkin mempengaruhi perjalanan proses undang-undang negara ini.

Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, kita sama-sama berharap, keadilan kepada yang di tuduh, keadilan kepada yang dibicarakan di akhbar (pihak dan bahan yang di tulis oleh RPK) dan yang mendakwa akan mendapat keadilan yang saksama dari mahkamah...

Monday, May 5, 2008

Hamdan Sulaiman

Semalam, sempat menjengok rakan lama yang kini sedang terlantar di rumahnya akibat serangan angin ahmar. Selalu juga saya berulang alik mengunjungi beliau. Tanpa saya sedari, mengikut isteri beliau, keadaan beliau sebegitu sudah hampir empat belas bulan..

Terkenang, ketika beliau sihat, beliau merupakan rakan, pembantu, penganalisa, penceramah, sahabat kepada banyak individu, pemimpin politik, ahli korporat dll. Kini beliau di rumah bersama isteri dan anaknya sahaja.

Kepada kawan-kawan, saya harap dapat turut memberi sokongan moral kepada keluarganya dan kepada sdr.Hamdan sendiri. Moga-moga dengan doa kawan-kawan semua beliau akan cepat pulih, InsyaAllah.

Tak kan melayu hilang di dunia......?

Semalam, baru terbaca kisah askar melayu yang di pilih bagi mengadakan kawalan di istana Ratu Elizebeth khususnya di Istana Buckingham, Windsor Castle, London Tower, di London, United Kingdom. Istiadat pertukaran kawalan di Istana Buckingham selalunya di tonton oleh ribuan pelancung dari seluruh dunia. Segak dan tampan Askar Melayu kita di rantau orang.

Di kecil hati terasa bangga juga dengan kehadiran dan penghormatan yang di beri kepada Askar Melayu Diraja dari Malaysia ini. Jauh di sudut hati sedih pun ada juga. Apa tidaknya selepas mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kita balik ke negri penjajah menjadi jaga dan bahan tontonan orang ramai......

Di selatan semenanjung juga semalam, Keretapi Tanah Melayu, tergelincir dari landasan. ... Satu lagi intitusi dan tinggalan yang sedang di mamah usia.

Semalam juga, Gapena menyembah hasil resolusi persidangan badan-badan bukan kerajaan melayu kepada KDYMM Sultan Johor.

Terkenang, ungkapan tak kan melayu hilang di dunia... Yang tinggal hanya dua institusi ini, Keretapi Tanah Melayu dan Askar Melayu Di Raja sahaja kini.......

Friday, May 2, 2008

besi burok atau sabotaj....

Dalam tempoh tidak sampai 10 hari, satu lagi menara kabel eletrik di Sabah menyembah bumi. Semua ini gara-gara harga besi yang melambong sejak akhir-akhir ini. siasatan awal menunjukkan kejadian ini adalah angkara perbuatan mencuri besi..

Rakyat terpaksa bergelap untuk kali kedua. Kerugian kepada semua pihak jika di hitung secara terperinci adalah satu jumlah yang amat besar. Aspek keselamatan merupakan satu perkara yang menjadi isu besar kepada rakyat pada masa kini.

Setiap hari kita melihat dan mendengar pelbagai kes, kecurian, rompakan, samun, bunuh, rogol dll.Bilangan pendatang haram semakin meningkat. Kos hidup rakyat juga terus meningkat. Akibatnya pelbagai gejala jenayah terus menerus berlaku tanpa henti.

Rakyat hanya mahukan kehidupan yang terjamin. Paling tidak keselamatan anak cucu dan ahli keluarga sentiasa selamat. Begitu juga kesusahan saperti terputus bekalan elektrik sepatutnya tidak berlaku. Pihak kerajaan dan PDRM harus mengambil langkah pencegahan yang proaktif bagi mengawal keadaan supaya ianya tidak menjadi lebih gawat. Rakyat tidak selamanya dapat bersabar jika kedaan begini terus berlaku tanpa tindakan yang positif....