Monday, November 19, 2007

begitu cepat masa berlalu

Semalam saya mendapat sms dari kawan lama memohon ampun dan maaf dan memaklumkan akan berangkat ke tanah suci sedikit masa lagi. Tadi saya membaca blog Nuraina dan sebelum itu blog Zaharah dari London mengenai Awang Goneng yang di tulis oleh Wan Hulaimi (suami Zaharah) bekas jurnalis dari NST.

Terkenang kawan-kawan lama ini sekitar tahun 80an dan 90an. Sirajudin Rafia (sekarang Dato') masa itu adalah wakil Utusan di London. Kami seringkali melepak di Malaysia Hall. Beliau akan berangkat ke Mekah minggu hadapan. Saya doakan moga beliau mendapat Haji Yang Mabrur. Wan Hulaimi menghasilkan karya 'Growing Up in Terengganu' (GUiT) dengan nama penanya Awang Goneng..

Ketika saat-saat begini kita hanya boleh berdoa dan mengingati masa silam yang berlalu begitu cepat. Saya teringat ketika itu saya begitu suka membaca tulisan Wan Hulaimi dan berpeluang pula berjumpa dengan beliau. Pernah juga saya dan Dato Siraj ke rumah beliau di London. Satu peristiwa yang saya tidak pernah lupa hingga ke hari ini ialah soal menamakan anak laki-laki kami yang baru dilahirkan ketika itu. Satu hari, dalam perjalanan balik dari Malaysia Hall selepas bertemu Wan Hulaimi, saya mendapat panggilan mengenai kelahiran anak laki-laki saya yang ketiga. Entah kenapa secara sepontan saya memberitahu isteri saya bahawa anak kami itu saya namakan Hulaimi. Dato Siraj hingga kini, setiap kali berjumpa, sering bertanya mengenai Hulaimi, anak saya, yang kini telah pun menamatkan pengajian tingkatan empatnya semalam..

Hari ini, mereka dengan halatuju masing-masing. Wan Hulaimi dan Zaharah menetap di London. Dato Sirajuddin Rafia telah bersara dan kini giat menjalankan perniagaan sendiri. Kepada mereka Selamat Maju Jaya, moga mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.. Amin.

Thursday, November 15, 2007

Pemimpin, Rakyat dan media

sepanjang minggu saya terus terganggu dan di ganggu dengan pelbagai berita mengenai soal saperti politik, demokrasi, rakyat, kuasa dan berbagai lagi. Sudah tentu ianya keluar dari orang-orang dan institusi yang berpengaruh saperti pak menteri, ketua polis, ahli majlis tertinggi parti, pegawai tinggi kerajaan, ahli parlimen, pihak media cetak dan letronik serta lain-lain lagi.

Keseluruhannya amat mengecewakan. Apa tidaknya, anak dan bapa akan di dakwa kerana turut serta dalam perhimpunan, rakyat mahu memakai baju kuning tak boleh dan perjalanan mereka di halang. Bakal pemimpin, memanggil rakyatnya sebagi beruk. Satu Kuala Lumpur sesak dan mencatit sejarah kepada negara. Berita yang keluar dari media cetak dan letronik kerajaan tidak menyentuh langsung dan kalau ada pun hanya berita kecil. Blog yang menyampaikan berita benar di sekat dan di ganggu dengan pelbagai cara. Pun begitu di seluruh dunia berita benar secara bergambar tersebar juga secara yang meluas..

Kerajaan dan pemerintah masih ingin hidup dalam alam penafian! Gambar-gambar dan berita dalam blog rakyat di lawati oleh ratusan ribu pelayar internet dari dalam dan luar negara. Lebih teruk pak menteri masih lagi mahu menegak benang basah dan marah-marah dengan bahasa inggeris yang lintang pukang dan di tonton di seluruh dunia. Keseluruhan saluran media milik kerajaan cuba memperkecilkan berita dan peristiwa yang benar-benar berlaku. Penonton, pembaca dan rakyat masih lagi mahu diperbodohkan sebegitu rupa..

Pihak media dan anggotanya sudah kehilangan kebebasan yang mereka perjuangkan. Sudah hilang ciri-ciri professionalisma profesyen mereka. Menurunkan darjat mereka di mata rakyat.
Sesungguhnya kamu sudah tidak ada lagi kredibiliti di mata rakyat.. Bahan berita, ungkapan dan ulasan kamu hanya layak di bakul sampah. Kamu memalukan diri kamu sendiri...

Sudah sampai masanya untuk pemimpin melihat diri sendiri, muhasabah diri, polisi dan tindakan. Kalau terlambat sudah tidak berguna lagi. Sesungguhnya di antara rakyat dan pemerintah pada abad ini, pada hari ini, jaraknya, semakin hari, semakin jauh... dan bertambah jauh...

Monday, November 12, 2007

Polis lagi!

Sabtu lepas saya bertolak untuk menghantar anak ke rumah terbuka kawanya di Taman Keramat. Malang, masuk sahaja ke Lebuhraya Seremban / Kuala Lumpur lebih kurang pukul 11.45 pagi dari simpang UPM, jalan sesak dan hampir tidak bergerak langsung. Hampir dua jam masa yang di ambil untuk bergerak dari UPM ke tol Sungai Besi. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpatah balik ke Cyberjaya.

Kita faham dengan tindakan Polis , tetapi tindakan ini amat tidak bijak. Bukan semua orang yang mereka periksa akan ke Dataran Merdeka. Ada yang bercadang untuk membeli belah, ke rumah terbuka, kenduri dll, terperangkap oleh tindakan yang agak bodoh. Tidak pula mereka memeriksa secara terperinci setiap kereta untuk mengenalpasti orang yang akan berdemonstrasi atau orang orang yang berpakaian kuning dsbnya..

Kesimpulan yang boleh di buat, mereka sengaja mengujudkan keadaan kelamkabut dan menyusahkkan semua orang kononnya dengan cara demikian kemungkinan boleh melambatkan perjalanan orang ramai atau menyekat orang ramai ke Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, akhirnya objektif perhimpunan pada Sabtu lepas tercapai juga. Barangkali pihak Kerajaan dan pihak Polis perlu memikirkan semula cara yang lebih bijak dan berhemah bagi mengendalikan kes sebegini!

Thursday, November 1, 2007

Apa sudah jadi ?

Pegawai tinggi PDRM membuat kenyataan akhbar mengenai BPR dan PDRM yang gagal memberi perlindungan kepada anggotanya?

"Cakap di mahkamah bukan dengan media", kata YB Nazri Aziz. Masih ingatkah lagi satu ketika dulu bagaimana seorang pengarah BPR kena belasah dengan Nazri dalam media? Pada ketika itu BPR sedang menjalankan siasatan mengenai pengeluaran permit teksi!, Melayu mudah lupa!

Menteri Dalam Negeri dengan Menteri Besar Perlis tuduh menuduh dalam media!Isu sebenarnya mengenai kebanjiran pendatang asing terutama yang halal dari Bangladesh dan pendatang haram dari Indonesia yang tak terkawal lagi sekarang ini, tak pulak nak dibincangkan!

Samy Vellu dengan M. Kayveas tuduh menuduh lagi .

Cabar mencabar sesama anggota dalam satu Jabatan, dalam satu Kementerian, dalam satu parti, UMNO, BN! Mana tuan atau ketuanya? Macam beruk tidak bertuan! Boleh jadi sedang tidur atau tak siapa nak mempedulikan tuannya lagi! Astaga apa sudah jadi?