Friday, May 30, 2008

Tan Sri Sanusi Junid....

Terbaru, mengikut Dato Ron dalam blog kuda kepang, terdapat berita bahawa perkhidmatan Tan Sri Sanusi Junid, Presiden Universiti Islam Antarabangsa yang Ke Empat yang telah berkhidmat sejak 1 March 2000 akan ditamatkan perkhidmatannya..

Sepanjang tempoh perkhidmatannya di UIA, beliau telah dapat mencabut banyak duri dalam daging di UIA... Benih-benih reformasi baik di kalangan pensyarah, kakitangan dan pelajar telah dijinakkan oleh beliau. Sekadar menyebut beberapa nama saperti Prof Syed Naquib, beberapa orang kuat DSAI juga telah meninggalkan universiti. UIA, kini aman damai, bertuah dan senanglah Presiden yang baru nanti melaksanakan tugasnya.

Tan Sri Sanusi boleh keluar dari UIA dengan penuh kehormatan. Lebih dari itu beliau boleh berjalan tegak, tanpa rasa bersalah atas jasa dan kerja buat beliau di UIA.

Datuk Sanusi baru-baru ini telah keluar dari UMNO. Beliau adalah ahli UMNO yang menggunakan nombor siri ahli 000000007..

Berita lanjut sila lihat;
kudakepang#links

Sama-sama kita lihat nanti.. siapa terpaksa berjalan tunduk atas kerja buat beliau masa di beri peluang memerintah Malaysia tetapi meninggalkan parti yang lemah, kerajaan yang lemah dan rakyat yang susah.....

Lagi kisah Tan Sri Mahyuddin...

Pemimpin ampu bodek UMNO terus mendapat perhatian menghiasi dada akhbar menyeru supaya tindakan disiplin di ambil terhadap YB Datuk Tajuddin, MP Pasir Salak dan YB Datuk Mukhriz, MP Jerlun atas alasan mengkritik beliau dan PM. Di samping itu media juga memberi liputan yang luas terhadap kemasukan Ezam, bekas ketua pemuda PKR dan orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apatah kagi Perdana Menteri sendiri menerima borang kemasukannya. .

Di sebalik keghairahan tersebut Tan Sri Mahyuddin (TMY) memberi komen ringkas, keputusan menerima kemasukkan Ezam adalah di bawah bidang kuasa MT UMNO. Dalam kata lain Presiden tidak boleh membuat keputusan sendiri dalam hal saperti ini....

Setakat ini jelas, TMY mempunyai pandangan dan pendirian tersendiri dan jauh berbeza dari majoriti pemimpin tertinggi UMNO masa kini. Sama-sama kita lihat bagaimana majoriti ahli UMNO melihat permasaalahan pembaharuan dalam UMNO di urus.....

Sunday, May 25, 2008

Tan Sri Mahyuddin Yassin

Sekali lagi Tan Sri Mahyuddin Yassin (TSM) menyatakan pendiriannya mengenai kepimpinan UMNO masa kini. Jelas, TSM memberi isyarat kepada semua ahli-ahli UMNO bahawa telah sampai masanya kepimpinan UMNO di tukar dan lebih dari itu beliau juga telah bersedia memulakan langah. Beliau menyebut secara jelas bahawa Pak Lah tidak akan dapat mengurus krisis yang ada dan ia perlu berundur. Beliau juga menyeru supaya ahli UMNO menerima hakikat dan tidak lagi berada dalam sindrom penafian tentang kekuatan UMNO.

Beliau berkata demikian dalam satu ceramah mengenai etika anjuran UMNO Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Implikasi dari pandangan di atas, jelas, ahli UMNO harus menerima realiti bahawa Presidennya perlu 'mengundur diri' dan jika perlu 'di ganti'. Jika di teliti adalah jelas TSM amat bersedia terus ke jawatan Presiden jika Timbalan yang ada sekarang masih lagi berdolak-dalik. Melihat perkembangan terbaru, jelas, Dato seri Najib juga telah memulakan langkahnya yang penuh sopan tetapi membawa maksud yang hampir sama. Nah, sekarang kepadasemua ahli-ahli UMNO, tepuk dada tanya selera. Gendang telah berbunyi, di mana panglimanya........

Friday, May 23, 2008

Persekutuan Tanah Melayu... tinggal kenangan


Semalam, saya menyentuh tentang kemungkinan Batu Putih jatuh ke tangan Singapura. Rasa kurang enak itu telah kita dengar semasa pembentangan kes ini di ICJ. Sesaorang harus mengambil tanggungjawab mengenai kesilapan ini..

Sah, Pulau Batu Putih di bawah penguasaan Singapura. Apa pun alasan, yang jelas Malaysia gagal dalam pembentangan di ICJ tempoh hari. Menteri Luar ketika itu, Dato Syed Hamid Albar dan pasukannya patut mengambil tanggungjawab moral menegenai keputusan ini. Lebih dari itu Perdana Menteri yang bertanggungjawab sepenuh tentang kepentingan negara juga harus mengambil tanggungjawab.

Persekutuan Tanah Melayu, begitulah nama negara ini seketika dulu. Cadangan jambatan yang nak di bina dalam negara sendiri pun dibatalkan. Kini, Batu Putih pula bertukar nama menjadi Pedra Blanca.

Dalam masa terdekat, sebahagian lagi kawasan selatan negeri Johor akan kehilangan identitinya. Di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) unsur-unsur kedaulatan negara kita kian di hakis. Bukan sahaja syarikat dari Singapura, malah syarikat dari USA yang katanya terlibat dalam peperangan dan pembunuhan rakyat di Iraq di jemput dengan permaidani merah.

Lebih memedihkan bukan sebab negara kita di tawan atau di jajah tetapi ianya berlaku kerana di jemput dan di sambut dengan segala senang hati. Lebih teruk lagi segala polisi di situ tidak lagi mengambilkira DEB. Lebih memalukan ianya di buat dengan kehendak kerajaan masa kini atas nasihat dari penasihat tidak resmi Perdana Menteri Malaysia masakini.

Soal penjagaan kepentingan negara dan kedaulatan negara adalah antara sumpah Perdana Menteri terhadap rakyat Malaysia. Nasi sudah menjadi bubur. Sekarang kita membuka lagi WPI di Johor untuk Singapura mengembangkan kawasan pembangunan ekonominya. Rakyat mendengar pelbagai cerita mengenai bagaimana hubungan Malaysia dengan Singapura samada dari segi politik, ekonomi dan sosial dikendalikan oleh pemimipin politik masakini. Yang jelas, kedudukan kita dalam perundingan dengan Singapura kian lemah hari demi hari... ini mengundang padah kepada generasi akan datang..

Persekutuan Tanah Melayu hanya tinggal nama... Kalau ada pun hanyalah Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan Askar Melayu Di Raja......

Thursday, May 22, 2008

Pulau Batu Putih.....


Esok, 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Haque, akan menyampaikan keputusan kes berkenaan. Beberapa minggu yang lepas pemikiran rakyat Malaysia telah dipersiapkan bagi menerima apa saja keputusan mahlamah berkenaan. RTM tidak henti-henti memuatkan berita bagi mengurangkan kesan kemarahan rakyat kiranya Pulau Batu Putih jatuh ke tangan Singapura.

Sama-samalah kita berdoa moga keputusan nanti akan berpihak kepada Malaysia. Jika keputusan berlaku sebaliknya, sudah tentu ianya berpunca dari kelemahan semasa pembentangan kes tempoh hari. Elok kalau dapat kita baca dari blog Rocky'bru di bawah

rocky's bru: If we lose, you know why ...

Musa Hitam dan Shahril Samad..

Duri dalam daging, begitu lah komen Musa Hitam terhadap Tun Mahathir! Di sokong pula anak didiknya Shahril Samad.

Kedua penama di atas adalah orang kuat PM masa kini.. Secara berterusan menyimpan dendam kesumat terhadap Tun Mahathir. Jelas dalam rekod sejarah politik Malaysia, setiap kali mereka ini merajuk, meletak jawatan, keluar UMNO, bertanding bebas dengan segala maki hamun terhadap Tun Mahathir, akhirnya Tun Mahathir yang memberi nafas baru kepada mereka berdua. Shahril di terima balik masuk UMNO adalah dengan persetujuan Tun Mahathir. Musa Hitam, di lantik dengan pelbagai jawatan atas kehendak dan persetujuan Tun Mahathir!

Kita lihat siapa perosak dan pengkhianat terhadap orang melayu dan UMNO.

Wednesday, May 21, 2008

Mokhzani keluar UMNO...

Sah Datuk Mokhzani ahli UMNO bahagian Merbok telah meninggalkan UMNO. Alasan yang sama, kerana kepimpinan UMNO sekarang. Mokhzani pernah menjadi ahli exco pemuda umno dan bendahari UMNO Kedah. Beliau seangkatan dengan Hishamuddin.

Sejarah beliau bertanding sebagai perwakilan UMNO Merbok beliau tak pernah kalah (bukan macam KJ) dan sentiasa mendapat tempat pertama. Banyak lagi pengikutnya dalam Bahagian UMNO Merbok. Banyak lagi kawan-kawan beliau dalam Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Sindrom penafian masih menyelubungi kepimpinan UMNO Malaysia.

Monday, May 19, 2008

Tun Mahathir meninggalkan UMNO


Petang tadi Tun Dr. Mahathir mengistiharkan keluar dari UMNO. Beliau melahirkan kekecewaannya terhadap UMNO yang di pimpin oleh Oleh Abdullah Badawi yang bukan lagi memperjuangkan UMNO.. Beliau juga menyeru ahli UMNO keluar dari UMNO tetapi beliau juga turut menasihatkan mereka supaya tidak menjadi ahli parti yang lain

Sesungguhnya UMNO, ahli-ahli UMNO berada di persimpangan jalan. Kedegilan Pak Lah mengundur diri, akan mengakibatkan UMNO akan kehilangan kuasa dan UMNO akan semakin lemah. Ahli UMNO di merata negeri, yang sedang membangkitkan soal penggantian kepimpinan UMNO, adalah ahli yang masih sayangkan UMNO. Sikap pemimpin UMNO dari Presiden hinggalah kepada ahli MT, sangat mengecewakan majoriti ahli. Sehingga kini tidak nampak satu usaha pun yang dilakukan bagi menunjukkan kesungguhan pemimpin UMNO bagi mencari penyelesaian mengenai krisis kepimpinan dan kehilangan kepercayaan ahli terhadap UMNO.

Apa yang berlaku, walaupun BN dan UMNO masih lagi memerintah adalah jelas, kepimpinan UMNO yang amat lemah, kerajaan dibiarkan di tekan oleh pelbagai pihak, hinggakan kepentingan orang melayu, kerajaan dan rakyat kian terabai. Lebih memburukkan keadaan kita makin terdedah kepada segala macam tekanan daripada luar khususnya negara jiran. Polisi kerajaan yang kelamkabut, harga barang yang kian meniingkat, keselamatan yang tidak terjamin, maruah orang melayu yang makin tercalar dibiarkan oleh Perdana Menteri dan Presiden UMNO yang lemah ini..

Sudah tentu langkah Tun Mahathir satu langkah yang amat drastik. Kekecewaan Tun akan di kongsi bersama oleh majoriti ahli UMNO di seluruh Malaysia. Ahli-ahli UMNO, khususnya pemimpin UMNO perlu disedarkan dengan tindakan yang drastik. Yang demikian saya fikir, lebih banyak lagi tindakan susulan dari ahli akan berlaku. Nasi sudah hampir menjadi bubur.. Pak Lah masih mahu bergayut sebagai presiden UMNO. Ahli MT UMNO masih mahu menjadi pak turut, memeluk tubuh tanpa mahu membuat tindakan.
Akhirnya kepada kamu semua wahai ahli Majlis Tertinggi, kamu akan dipertanggungjawabkan jika UMNO kehilangan kuasa, melayu akan kehilangan di bumi ini buat selamanya...

Thursday, May 15, 2008

murtad...

Hampir seminggu berita mengenai Siti Fatimah Tan Abdullah yang memeluk dan beragama Islam telah dibenarkan oleh mahkamah untuk kembali ke agama asalnya. Mahkamah Tinggi Syariah Penang telah membuat keputusan tersebut pada 8 Mei 2008 yang lalu..

Dari segi hukum syarak, hukuman terhadap orang-orang yang murtad adalah jelas dari segi agama Islam. Saya kurang arif tentang alasan yang digunakan bagi membenarkan permohonan ini. Lebih dari itu kes ini akan menjadi 'precedent' dalam kes-kes yang akan datang dalam Mahkamah Syariah.

Dalam konteks ini, sebelum masaalah ini menjadi satu lagi time bomb dalam masyarakat Islam, pihak kerajaan perlu mengambil langkah tegas untuk memperkemaskan segala bentuk kelemahan samada dari segi perundangan mahupun peranan Jabatan Agama Islam itu sendiri. Tersilap langkah isu ini boleh menimbulkan bencana dan dosa yang amat besar kepada umat Islam keseluruhannya...

Wednesday, May 14, 2008

39 tahun yang lalu....13 Mei 1969

Hari ini, Rabu, 14 Mei 2008 semua rakyat Malaysia tertunggu-tungu untuk mengetahui pengumuman PKR tentang ura-ura beberapa MP BN akan menyertai PKR.. Kabarnya berbelas orang MP akan menyertai PKR. Hingga waktu ini belum ada apa-apa berita lagi...

39 tahun yang lalu, peristiwa 13 Mei 1969, tinggal dalam kenangan. Ketika itu pertumpahan darah di antara rakyat Malaysia berlaku di Kuala Lumpur. Peristiwa berkenaan berlaku di sekitar kawasan Kg Baru dan Chow Kit dan merebak kebeberapa kawasan lain. Perintah berkurung telah dilaksanakan bukan sahaja di Kuala Lumpur , malah di beberapa negeri lain. Darurat telah disitiharkan dan Parlimen telah di gantung. Mageran diujudkan bagi memerintah negara pada ketika itu... Sebenarnya banyak lagi cerita, dasar, polisi yang terhasil dari peristiwa ini..

Dalam keghairahan parti politik merebut kekuasaan, dalam kerakusan pemimpin politik merebut kuasa, dalam keghairahan politikus memperjuangkan nasib bangsa, jangan kita lupa kedamaian, kesetabilan negara, kesejahteraan rakyat patut menjadi matlamat utama dan semestinya mengatasi kepentingan peribadi, kelompok, parti, kaum dan agama...

Sunday, May 11, 2008

harga beras terus meningkat..

Kami tidak terkata dan tidak punyai penjelasan bila menteri dalam negeri di rumah bertanya kenapa harga beras super 10kg yang selalu dia beli dengan harga RM22,00 kini berharga RM32.00. Dalam dua tiga minggu lepas harganya RM22.00. Huh apa kerja KHEDN? Di mana silapnya? Apa yang di buat Bernas dan Pengilang dan pemborong beras sehinggakan kenaikan mendadak sehingga RM10.00?

Bersembang dengan kawan-kawan di kampung, rata-rata mengeluh dan telah menunjukkkan yang mereka sangat keliru dan tidak berminat lagi untuk mengerjakan tanah sawah yang langsung tidak lagi memberikan pulangan yang setimpal. Harga jualan padi tetap saperti dulu sedangkan harga beras terus meningkat. Bukan mengharapkan keuntungan malah upah kerja pun tidak memadai.. Mereka memberi contoh untuk satu relung sawah, sewa RM 250, Upah bajak hingga boleh tanam RM 200, Upah tanam termasuk anak semaian RM 270.00, Racun RM15.00, Upah tabur baja RM25.00 (baja Persatuan Peladang), Upah mesin padi dan pengangkutan jualan RM RM 110.00 dan kosnya berjumlah RM 870.00. Hasilnya untuk satu relong antara RM1200.00 hingga RM1500.00. Dengan demikian pendapatan mereka hanya antara RM330 hingga RM630. Bayangkan mereka mengerjakan sawah ini dalam tempoh enam bulan dan dengan demikian pendapatan purata mereka hanya antara RM50 hingga RM 100 sebulan... Kemana badan hendak di bawa....

Kita khuatir kenaikan harga barang khususnya beras adalah rekaan pihak yang tidak bertanggungjawab. Bernas yang mendapat hak monopoli mengimpot beras harus bertanggungjawab. Lebih mudah kerajaan patut membenarkan lebih banyak pengimpot supaya bekalan bertamabah dan terdapat persaingan yang mendatangkan faedah kepada pengguna.

Sementara itu, insentif kepada petani harus juga di lihat secara total supaya tanah-tanah yang ada, diteruskan penanamannya dan petani mendapat pulangan yang setimpal. Bentuk bantuan dari segi pengurangan kos pengeluaran dan penurunan kos input pertanian amat mustahak dilaksanakan. Lebih dari itu harga padi juga harus dipertimbangkan agar setimpal dengan harga beras yang sedang meningkat.

Golongan petani di kampung saperti di ataslah yang sepatutnya mendapat subsidi secara langsung. Jika ini dapat dilakukan, rakyat yang berada dalam kawasan kemiskinan, akan mendapat faedah dan dengan demikian kadar kemiskinan dapat dikurangkan...

Saturday, May 10, 2008

lagi ganjaran kepada anggota perkhidmatan awam

Berlatarbelakangkan harga minyak yang kian meningkat dan krisis dalam kekurangan bekalan makanan di seluruh dunia, PM memberikan ucap utama kepada sambutan hari pekerja anjuran
CUEPACS.

Kerajaan telah bersetuju memenuhi beberapa tuntutan pekerja, antara lain...
i) Lanjutan umur persaraan kepada 58 tahun
ii) Penilaian PTK - akan ditambahbaik tanpa pemansuhan
iii) Pencen - Pencen terbitan soal penyusutan kadar pencen dimansuhkan. Faktor pengiraan pencen di kira sehingga 30 tahun

Melihat prestasi perkhidmatan awam di Malaysia, saya kurang pasti apakah mereka ini layak menerima habuan ketika majoriti rakyat sedang di landa pelbagai masaalah.

Prestasi burok dengan sistem penyampaian yang lemah, tidak pernah membantu kita dalam menilai prestasi mereka. Terlalu banyak contoh boleh diketengahkan, rakyat tak pernah merasa selamat di dalam dan luar rumah, penguatkusaan undang-undang yang amat lemah, kebanjiran pendatang haram yang tak terkawal, pengurusan keadilan yang tertunggak di pelbagai mahkamah, permohonan rakyat yang tidak di proses bertahun-tahun, pengajaran di sekolah yang tidak berkesan, masaalah belia yang berterusan tanpa penyelesaian, pembaziran sumber di pelbagai jabatan kerajaan, kelambatan bertindak terhadap aduan rakyat dan lain-lain lagi yang boleh kita senaraikan berjela-jela di sini.

Perkhidmatan awam yang tidak cekap di sebalik jumlah anggota yang terlalu ramai berbanding dengan jumlah penduduk adalah sesuatu yang lemah dan memalukan.. Pengswataan beberapa syarikat dan perkhidmatan kerajaan sepatutnya dapat mengurangkan jumlah anggota perkhidmatan awam di Malaysia. Malang, hingga kini jumlah anggota kian bertambah tahun demi tahun.

Kerajaan sepatutnya meneliti tahap prestasi anggotanya secara lebih terperinci. Ganjaran hanya di beri kepada yang mempunyai merit dan menunjukkan tahap produktiviti yang tinggi. Lebih dari itu perkhidmatan kepada rakyat mesti menjadi ukuran utama..

62 tahun.....

Esok, seluruh ahli UMNO di jemput ke PWTC buat sekian kalinya bagi menyambut ulang tahun ke 62. Aturcaranya, macam biasa, doa, nyanyi-nyanyi dan ucapan Presiden dan di akhiri dengan tahlil..

Selepas tsunami PRU 12 saya kira ini adalah kali kedua pemimpin dan ahli UMNO di panggil ke PWTC untuk mendengar amanat Presiden. Kabarnya, Presiden juga ada memanggil ketua-ketua cawangan dari negeri-negeri, juga untuk mendengar amanat Presiden.

Hari ini genap dua bulan BN dan UMNO merayakan "kemenangan" dalam PRU12 baru-baru ini. Kepada pemimpin UMNO, sudah cukup, pelbagai seruan dari ahli akar umbi supaya tindakan drastik di ambil bagi menentukan UMNO kekal relevan dalam politik Malaysia. Yang jelas, hingga kini, tiada satu pun bentuk bedah siasat di buat secara sistematik di semua peringkat. Cadangan mengadakan EGM bagi membincangkan isu ini juga di pandang sepi oleh pemimpin tertinggi UMNO. Lebih buruk lagi, secara halus pemimpin bahagian semacam di tekan supaya tidak membincangkan secara terbuka apatah lagi mengadakan EGM. Kesimpulannya, masaalah yang ada dalam UMNO, semuanya mahu di sapu ke bawah karpet.

Dua bulan telah berlalu, masa dari Mei hingga Disember ini amat krtikal dan penting. Penting kepada UMNO dan orang melayu. Kegagalan mengambil peduli kehendak akar umbi akan membawa padah. Dalam keadaan krisis saperti ini, kepentingan bangsa, ahli dan parti perlu mengatasi kepentingan peribadi dan kelompok dalam pemimpin atasan. .....Semua pemimpin di peringkat cawangan, bahagian harus secara serius melihat permasaalahan yang ada dan berani membuat tindakan yang boleh membawa perubahan...

Thursday, May 8, 2008

bom jangka .... antara Karpal dan RPK...

Kerajaan Pak Lah berada di persimpangan dan memerlukan keputusan yang amat kritikal. RPK telah di tuduh di bawah Akta Hasutan. Keengganan beliau untuk di jamin akan menarik perhatian dunia...

Apa bezanya Karpal Singh berbanding dengan RPK dari sudut akta hasutan. Sehingga kini jelas tiga perkara yang melibatkan Karpal Singh dengan kedudukan dan kuasa Sultan dan Raja-Raja. (1) Karpal dengan komennya mengenai kuasa kuasa Sultan Perak (2) Karpal dengan komennya terhadap Tengku Mahkota Kelantan (3) Karpal dengan komennya terhadap isu titah ucapan KDYMM Yang Di Pertuan Agong baru-baru ini.

Sementara itu, kepada orang awam persoalan pertanyaan, apa bezanya tindakan ahli-ahli UMNO di Terengganu mempersoalkan kuasa Sultan Terengganu dalam soal pemilihan Menteri Besar selepas PRU 12 baru-baru ini. Tidak ada bezanya perlakuan Karpal dengan perlakuan ahli UMNO di Terengganu baru-baru ini.

Kerajaan dan Peguam Negara mempunyai tugas yang cukup mencabar akibat dari tindakan awal mendakwa RPK di mahkamah di bawah Akta Hasutan. Yang jelas, pendakwaan terhadap kesalahan begini tidak harus memilih bulu. Prinsip tiada sesiapa pun boleh berada di atas undang-undang dan boleh terlepas dari tindakan perlu dipraktikkan.Jika ini pilihannya bermakna kes-kes yang melibatkan ahli UMNO juga perlu di beri perhatian oleh kerajaan.

Persoalannya, mampukah Pak Lah, PM yang tidak mendapat sokongan 2/3 di parlimen menyelesaikan isu ini?? Masih bolehkah PM berkeyakinan bahawa tidak akan ada tsunami kedua dalam jarak terdekat ini??? Jika berlaku penangkapan dan pertuduhan terhadap Karpal, bersediakah kerajaanPak Lah dengan impak pendapat umum ?Kebijaksanaan Pak Lah, PM akan di uji.. Kegagalan beliau menangani isu ini sebaik mungkin akan mengundang padah kepada kerajaan dan juga kepada UMNO..

Wednesday, May 7, 2008

Raja Petra Kamaruddin....


Raja Petra Kamaruddin enggan untuk membayar wang jaminan atas pertuduhan yang dikenakan kepadanya. Yang demikian beliau akan di tahan sehingga di jamin atau pun akan terus kekal dalam tahanan sehingga 6 Oktober ini iaitu hari perbicaraan kes tersebut. Beliau di tuduh di bawah Akta Hasutan berdasarkan tulisan beliau berjudul ''... send the Alantuya murderers to hell..." dalam laman web Malaysia Today.

Pendapat ramai sering kita dengar, kerajaan sering di desak, pembangkang sering memperjuangkan bahawa jika ada sebarang kesalahan maka rakyat perlu di tuduh di mahkamah. Dalam kes ini, jelas, kerajaan memilih untuk menuduh RPK di mahkamah terbuka. RPK di beri peluang untuk di jamin, tetapi beliau memilih sebaliknya.

Berita terbaru, difahamkan keluarga beliau melalui Malaysia Today telah berjaya mengumpulkan jumlah wang yang mencukupi dari orang ramai bagi menjamin beliau. Kita belum pasti samaada beliau akan memilih untuk terus kekal di penjara atau bersetuju untuk bebas dengan di ikat jamin. Apa pun pilihan yang di buat, kes ini akan menarik perhatian seluruh dunia

Yang jelas, kepada semua pembaca, apa yang di tulis, apa yang perkatakan sebelum ini hanya boleh di anggap sebagai kabar angin.. Sekarang ini, ianya telah dan akan menjadi kes yang dibicarakan di mahkamah terbuka. Bila dibicarakan, sudah tentulah pihak pendakwa perlu membuktikan dengan tanpa sebarang keraguan. Sebaliknya RPK selaku yang di tuduh juga akan di beri peluang untuk membela diri dan menimbulkan keraguan terhadap pertuduhan.

Kita yakin banyak pihak yang akan luka, tercalar nanti. Kerajaan, nampaknya terkena jerat RPK kali ini. Kita semua tahu sudah banyak kali beliau mencabar kerajaan menangkap dan membicarakannya, jika ada kesalahan yang dilakukan. Kebijaksanaan kerajaan Pak Lah menangani isu ini mungkin dapat dipersoalkan.

Kepada kumpulan yang berkepentingan, NGOs, pembangkang, peguam, ahli politik dll harus menerima pendirian kerajaan dan juga pendirian RPK secara terbuka. Dalam kata lain soal 'rule of law' yang selalu diperjuangkan oleh mereka ini, patut dibiarkan berfungsi tanpa desakan, komen yang tak di ingini dan mungkin mempengaruhi perjalanan proses undang-undang negara ini.

Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, kita sama-sama berharap, keadilan kepada yang di tuduh, keadilan kepada yang dibicarakan di akhbar (pihak dan bahan yang di tulis oleh RPK) dan yang mendakwa akan mendapat keadilan yang saksama dari mahkamah...

Monday, May 5, 2008

Hamdan Sulaiman

Semalam, sempat menjengok rakan lama yang kini sedang terlantar di rumahnya akibat serangan angin ahmar. Selalu juga saya berulang alik mengunjungi beliau. Tanpa saya sedari, mengikut isteri beliau, keadaan beliau sebegitu sudah hampir empat belas bulan..

Terkenang, ketika beliau sihat, beliau merupakan rakan, pembantu, penganalisa, penceramah, sahabat kepada banyak individu, pemimpin politik, ahli korporat dll. Kini beliau di rumah bersama isteri dan anaknya sahaja.

Kepada kawan-kawan, saya harap dapat turut memberi sokongan moral kepada keluarganya dan kepada sdr.Hamdan sendiri. Moga-moga dengan doa kawan-kawan semua beliau akan cepat pulih, InsyaAllah.

Tak kan melayu hilang di dunia......?

Semalam, baru terbaca kisah askar melayu yang di pilih bagi mengadakan kawalan di istana Ratu Elizebeth khususnya di Istana Buckingham, Windsor Castle, London Tower, di London, United Kingdom. Istiadat pertukaran kawalan di Istana Buckingham selalunya di tonton oleh ribuan pelancung dari seluruh dunia. Segak dan tampan Askar Melayu kita di rantau orang.

Di kecil hati terasa bangga juga dengan kehadiran dan penghormatan yang di beri kepada Askar Melayu Diraja dari Malaysia ini. Jauh di sudut hati sedih pun ada juga. Apa tidaknya selepas mencapai kemerdekaan selama 50 tahun, kita balik ke negri penjajah menjadi jaga dan bahan tontonan orang ramai......

Di selatan semenanjung juga semalam, Keretapi Tanah Melayu, tergelincir dari landasan. ... Satu lagi intitusi dan tinggalan yang sedang di mamah usia.

Semalam juga, Gapena menyembah hasil resolusi persidangan badan-badan bukan kerajaan melayu kepada KDYMM Sultan Johor.

Terkenang, ungkapan tak kan melayu hilang di dunia... Yang tinggal hanya dua institusi ini, Keretapi Tanah Melayu dan Askar Melayu Di Raja sahaja kini.......

Friday, May 2, 2008

besi burok atau sabotaj....

Dalam tempoh tidak sampai 10 hari, satu lagi menara kabel eletrik di Sabah menyembah bumi. Semua ini gara-gara harga besi yang melambong sejak akhir-akhir ini. siasatan awal menunjukkan kejadian ini adalah angkara perbuatan mencuri besi..

Rakyat terpaksa bergelap untuk kali kedua. Kerugian kepada semua pihak jika di hitung secara terperinci adalah satu jumlah yang amat besar. Aspek keselamatan merupakan satu perkara yang menjadi isu besar kepada rakyat pada masa kini.

Setiap hari kita melihat dan mendengar pelbagai kes, kecurian, rompakan, samun, bunuh, rogol dll.Bilangan pendatang haram semakin meningkat. Kos hidup rakyat juga terus meningkat. Akibatnya pelbagai gejala jenayah terus menerus berlaku tanpa henti.

Rakyat hanya mahukan kehidupan yang terjamin. Paling tidak keselamatan anak cucu dan ahli keluarga sentiasa selamat. Begitu juga kesusahan saperti terputus bekalan elektrik sepatutnya tidak berlaku. Pihak kerajaan dan PDRM harus mengambil langkah pencegahan yang proaktif bagi mengawal keadaan supaya ianya tidak menjadi lebih gawat. Rakyat tidak selamanya dapat bersabar jika kedaan begini terus berlaku tanpa tindakan yang positif....

Thursday, May 1, 2008

institusi yang lemah dan tenat.....

Beberapa bulan kebelakang, kita lihat pelbagai pendedahan terhadap institusi pemerintahan dalam sistem demokrasi di Malaysia. Keadaan ini berterusan hinggalah selepas pilihanraya (PRU12) yang lalu. Yang terbaru, kita lihat secara jelas, melalui kaca TV mengenai ahli-ahli parlimen (MP) yang kita pilih 'berbahas' dalam parlimen.

Demokrasi di Malaysia diasaskan berdasarkan doktrin pengasingan kuasa di antara cabang utama iaitu Eksekutif, Kehakiman dan Perundangan. Pada dasarnya, Eksekutif yang diketuai oleh PM akan memerintah negara ini secara bijaksana. Manakala Kehakiman pula akan berfungsi untuk mentafsir undang-undang secara adil dan saksama dan Perundangan yang di wakili oleh parlimen akan membuat undang-undang dan membahaskan pelbagai isu utama untuk kepentingan rakyat. Pada teorinya masing-masing saling tidak mempengaruhi satu sama lain dan ini akan menjadi asas yang penting dalam sistem pemerintahan di Malaysia

Sayangnya, ketiga-tiga institusi ini berada dalam keadaan yang tenat dan tidak bermaya. Pelbagai kelemahan secara nyata dan penuh dengan bukti yang dapat di lihat oleh rakyat mengenai tiga institusi ini. Langsung ianya tidak memberikan harapan kepada rakyat, keyakinan kita semakin hilang...

Eksekutif, yang diketuai oleh PM gagal memerintah dengan baik. Sistem penyampaian yang lemah, dasar-dasar yang lemah, penguatkuasaan undang-undang yang lemah dan terdapat semacam keadaan kerajaan hilang kawalan hingga nasib rakyat di timpa masaalah ekonomi dan sosial secara yang bertali arus..

Kehakiman, dengan pelbagai cerita yang kita dengar dan bukti yang kita lihat, juga telah menghilangkan keyakinan rakyat. Institusi ini sepatutnya merupakan tempat kita mendapatkan keadilan kini penuh dengan keraguan di mata rakyat

Terbaharu, dalam TV kita lihat buat pertama kali secara langsung, mereka sebenar tidak pernah berubah. Pembangkang dan pihak parti pemerintah sama saja. Mereka lebih suka menjadikan dewan parlimen sebagai tempat sirkus untuk menunjukkan kepandaian dengan pelbagai antik yang tidak berfaedah dan amat tidak sesuai sekali dengan peranan mereka sebagai penggubal undang-undang. Institusi Parlimen sepatutnya menjadi satu institusi yang di hormati. Malagnya kelakuan pelaku-pelaku dalam parlimen saperti yang digambarkan oleh pihak amat mengecewakan.

Kesimpulannya kesemua institusi demokrasi yang ada di Malaysia sekarang berada dalam keadaan tenat dan tak bermaya.. Di mana puncanya? Jika semua mereka ini berterusan begini yang menjadi mangsanya adalah rakyat. Kepada rakyat kemana badan hendak di bawa..........?